Dicekup berkhalwat, remaja 19 tahun guna alasan penat main futsal inap hotel bajet di Melaka


  • 112
  • Khamis, 01 Sep 2022

Penguat kuasa JAIM menahan sepasang kekasih di sebuah hotel bajet di Bukit Beruang pada Rabu. — Sinar Harian

SEORANG remaja memberi alasan penat bermain futsal ketika dicekup berkhalwat bersama kekasihnya di sebuah hotel bajet di Bukit Beruang, Melaka pada awal pagi Rabu.

Perbuatan pasangan itu masing-masing berusia 19 tahun dapat dihidu Jabatan Agama Islam (JAIM) yang melakukan operasi di hotel tersebut pada pukul 12.30 pagi.

Pengarah JAIM, Datuk Che Sukri Che Mat berkata, pasangan remaja terbabit gagal menunjukkan sebarang hubungan mahram atau suami isteri.

Katanya, ketika serbuan dilakukan, remaja lelaki terbabit tidak berbaju manakala teman wanitanya mengenakan baju tidur selain mereka mengaku menginap bersama untuk berehat.

"Lelaki itu berikan alasan penat bermain futsal sambil menemani teman wanitanya selesaikan tugasan belajar.

"Namun pemeriksaan mendapati tiada pakaian sukan ditemui dan kedua-dua mereka kemudian dibawa ke pejabat JAIM untuk tindakan lanjut," kata Che Shukri pada Khamis.

Sementara itu, Che Sukri berkata, dalam serbuan lain di sebuah hotel bajet di Bachang, pihaknya menahan satu lagi pasangan kekasih iaitu lelaki berusia 25 tahun dengan kekasihnya berusia 22 tahun.

Menurutnya, pasangan terbabit ditahan ketika operasi yang dijalankan penguat kuasa JAIM pada pukul 2.45 pagi.

"Mereka juga memberi alasan berehat di hotel kerana penat.

"Sedangkan lelaki terbabit hanya tinggal di kawasan Cheng manakala teman wanitanya menetap di Jasin," kata beliau.

Kedua-dua pasangan terbabit disiasat mengikut Seksyen 53 Enakmen Kesalahan Syariah Negeri Melaka 1991 iaitu bersekediaman atau berkurung (khalwat) yang mendatangkan syak melakukan maksiat sebelum dibebaskan dengan jaminan.

Sabit kesalahan, semua mereka boleh didenda maksimum RM3,000 atau penjara maksimum dua tahun atau kedua-duanya sekali. — Sinar Harian

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram