KEMENANGAN 5-2 Kuala Lumpur City (KL City) FC ke atas PSM Makassar pada Rabu, sekali gus memastikan nama Malaysia kekal di pentas pertandingan Asia.
Dalam perlawanan final Zon Asean Piala Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur itu, KL City muncul satu-satunya wakil negara yang masih bersaing dalam kejohanan berprestij itu.
KL City meraikan kejayaan selepas membelasah PSM Makassar pada Rabu. — Facebook/KL City FC
Kejayaan menjuarai zon Asia Tenggara kali ini menyaksikan KL City akan terus ke final antara zon, selain akan menanti pemenang perlawanan antara kelab Uzbekistan, Sogdiana Jizzakh dan wakil Hong Kong, Eastern.
Tumpang gembira atas kemenangan itu, penyokong Kedah Darul Aman (KDA) FC meminta pasukan itu untuk berganjak dari sekarang bagi membawa perubahan, selain tidak menyembunyikan rancangan mereka pada musim depan.
Jan Fadzli berkata, ini termasuk berurusan dengan bekas pengemudi Kedah, Tan Cheng Hoe untuk mendapatkan khidmat beliau sebagai ketua jurulatih Kedah.
Apatah lagi, katanya, setakat ini tiada lagi hitam putih daripada Perak FC, selepas desas-desus mengatakan Cheng Hoe, yang juga bekas jurulatih kebangsaan bakal berkhidmat dengan pasukan itu.
"Sama ada TCH (Cheng Hoe) dah deal atau sign dengan Perak FC belakang kira. Yang penting KDA FC cuba dulu pancing.
"Sekurang-kurangnya ada usaha untuk bina team untuk musim depan dari sekarang," katanya menerusi hantaran di laman Facebook.
Skuad Kedah melakukan persiapan sebelum menentang Penang FC pada 2 September depan. — Facebook/KDA FC
Selain itu, Jan Fadzli juga meminta The Red Eagle untuk membuktikan kepada penyokong bahawa mereka benar-benar serius untuk membina sebuah pasukan.
"Kita tengok, Selangor siap beritahu pemain yang bakal dipancing musim depan. Kerana penyokong benar-benar ingin tahu arah tuju team. Tahun 2019 KDA FC dah buktikan dengan setting team dari awal.
"Jadi, tak ada masalah untuk setting team dari sekarang untuk musim depan." katanya.
Terdahulu, Cheng Hoe berkata, meskipun timbul khabar angin mengatakan bahawa beliau bakal mengemudi Perak FC, namun beliau sudah bersedia untuk memikul semula tanggungjawab sebagai jurulatih bagi mana-mana kelab.
"Mana-mana kelab yang bersetuju untuk membuat syarat dan sebagainya dan kalau kedua-dua pihak setuju dengan terma dikenakan, ia tidak jadi masalah," katanya kepada Majoriti.
Cheng Hoe sebelum ini pernah membimbing Kedah pada 2014 hingga 2017 dan membantu pasukan itu menjuarai trofi Liga Perdana, Piala Malaysia dan Piala Sumbangsih.
Beliau dianggap sebagai salah seorang jurulatih berpengaruh di Malaysia selepas menjadi pengendali Harimau Malaya sejak 2018, sebelum meletakkan jawatan awal tahun ini ekoran prestasi hambar skuad negara pada kempen Piala AFF 2020. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram