'Kalau telus, kami akan terus sokong,' Penyokong mahu KDA FC lebih bersikap terbuka


  • Podium
  • Rabu, 24 Ogos 2022

Penyokong KDA FC mendesak pihak pengurusan agar lebih telus dalam laporan audit terhadap unit perniagaan yang dijalankan. — Facebook/KDA FC

TRANSFORMASI Kedah Darul Aman FC (KDA FC) kepada kelab swasta pada 2021 telah mengubah landskap mereka dalam memastikan sumber dan pengurusan kewangan dapat berjalan dengan lancar.

Dalam memastikan perkara itu mampu dicapai, Lembaga Pengarah KDA FC telah menubuhkan cabang perniagaan sejak pertengahan tahun lalu bagi menampung perbelanjaan di dalam dan luar padang.

Perniagaan yang dilakukan menerusi penjualan cenderahati rasmi, seperti jersi dan barangan lain dilihat sebagai satu pendekatan untuk memberikan sumber kewangan tambahan berbanding penajaan dan penjualan tiket.

Namun, meskipun usaha tersebut dijalankan demi kebajikan Sang Kenari, pelbagai tanda tanya telah timbul dalam kalangan penyokong yang mempersoalkan ketelusan pihak pengurusan dalam hal-hal kewangan.

Antaranya, mereka mempertikaikan struktur perancangan perniagaan dan akaun di sebalik urusan perniagaan sedia ada yang masih tidak didedahkan kepada para penyokong secara telus.

Bagi menjawab perkara itu, KDA FC menerusi satu kenyataan di Facebook berkata, segala urusan perniagaan adalah berada di bawah bidang kuasa Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) KDA FC, Khamal Idris Ali.

Jelas mereka, pendekatan itu diambil berikutan terdapat isu yang berbangkit berpunca daripada liabiliti hutang tanggungan kewangan pasukan lalu, iaitu Kedah FA.

KDA FC FANS

Penyokong Kedah tidak pernah putus asa memberi sokongan kepada pasukan kesayangan mereka.

Selain itu, kenyataan yang dikeluarkan itu turut menegaskan bahawa urusan perbelanjaan dikendalikan Khamal, namun setiap item yang diperolehi menjadi aset kepada kelab.

Meskipun penjelasan itu telah dibuat, rata-rata penyokong skuad Sang Kenari mahu pihak pengurusan agar lebih telus dalam proses audit yang telah dilakukan ke atas unit perniagaan KDA FC itu.

"Bukan setakat audit, pengurusan juga perlu membentangkan ringkasan audit, perolehan dan laporan keuntungan dan kerugian kepada penyokong," kata Ahmad Syamim Alkaff.

Tegasnya, sekiranya lembaga pengarah bersikap lebih terbuka akan laporan tersebut, para penyokong akan terus memberikan sepenuh sokongan terhadap KDA FC.

Bagi Mohammad Faiz, pendekatan yang dibuat untuk kerja-kerja audit perlu dijalankan pihak luaran dalam memastikan keputusan dikeluarkan lebih tepat.

"Mohon lantik juruaudit luar dan mohon bentang untung rugi kelab seperti dibuat kelab luar negara dalam menuju ke arah profesionalisme yang lebih baik," katanya.

Perkara itu turut dipersetujui Boy Sebastian yang melihat ketelusan mengenai urusan kewangan perlu dibuat terhadap penyokong bagi memberi penjelasan yang terbaik.

"Lain kali, maklumkan kepada pihak pengurusan untuk melakukan perjumpaan bersama kelab penyokong dengan lebih kerap untuk beri pencerahan," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram