Tiga import dapat 'greenlight' sertai skuad Sang Kenari musim depan


  • Podium
  • Rabu, 24 Ogos 2022

Penyokong skuad Sang Kenari melihat kemasukan player import mampu meningkatkan keupayaan pasukan tersebut musim depan — Facebook/Kedah Darul Aman FC

KEPUTUSAN demi keputusan yang kurang memberangsangkan dicatatkan Kedah Darul Aman FC (KDA FC) sehingga menyaksikan mereka terperosok di kedudukan ketujuh liga.

Tidak cukup dengan itu, skuad Sang Kenari seakan-akan gagal mencari rentak permainan di bawah kendalian ketua jurulatih, Aidil Shahrin Ishak selepas hanya berjaya mengumpul 18 mata daripada 14 perlawanan setakat ini.

Rentetan daripada perkara itu, para penyokong mahu melihat skuad yang lebih mantap dan mempunyai semangat tinggi bagi berdepan saingan Liga Super musim hadapan yang lebih mencabar dengan membawa masuk beberapa pemain import.

Seorang pemain yang sejak kebelakangan ini dikaitkan dengan kepulangan ke skuad Sang Kenari adalah pemain berdarah kacukan Malaysia-Australia, David Rowley.

Rowley boleh diibaratkan sebagai permata yang hilang bagi penyokong KDA FC walaupun pemain itu kurang menyerlah selama bersama Kedah FA sebelum ini.

Sering diturunkan sebagai pemain tengah serangan, Rowley hanya mampu menjaringkan dua gol dalam 20 perlawanan selama dua musim bersama skuad itu.

Tidak cukup dengan itu, pemain ini juga sering diletakkan di bangku simpanan apabila gagal mempamerkan persembahan terbaik setiap kali diturunkan ke padang.

278016396_5142211305839522_6245138914964391846_n

David Rowley (kiri) semakin menyerlah selepas menyertai skuad Sri Pahang FC. — Facebook/Sri Pahang FC

Namun, setelah menyertai pasukan Sri Pahang FC, Rowley mula menunjukkan kemampuan sebenarnya dalam arena bola sepak negara.

Setakat ini, pemain berusia 32 tahun ini sudah berjaya menjaringkan tiga gol serta menghasilkan dua bantuan gol dalam 15 perlawanan Liga Super musim ini.

"Kena dapatkan semula David Rowley ni, semakin lama, semakin baik permainannya," kata Bundle Selam Live menerusi Facebook.

Persoalannya, mampukah pihak pengurusan KDA FC mendapatkan semula khidmat Rowley selepas pemain itu berjaya menempa nama dalam kalangan penyokong skuad Tok Gajah musim ini.

Sementara itu, seorang lagi pemain Sri Pahang FC yang bermain dengan cemerlang musim ini turut berada dalam radar perpindahan KDA FC, iaitu Andres Steven Rodriguez.

Menurut Hussain Harun Pak Tam, kemampuan pemain menyarung jersi nombor 9 ini untuk menerajui bahagian serangan tidak wajar diendahkan setelah dia berjaya mencatatkan enam gol liga setakat ini.

"Adalah lebih baik sekiranya KDA FC berjaya mendapatkan khidmat penyerang Sri Pahang FC, Rodriguez kerana permainannya cukup hebat," katanya menerusi Facebook.

296808680_5467355813325068_7772168745081542302_n

Steven Rodriguez berjaya menjaringkan dua gol ketika Sri Pahang FC bertemu KDA FC — Facebook/Sri Pahang FC

Kemampuan pemain kelahiran Colombia ini pasti mendapat perhatian penyokong Hijau Kuning selepas dia berjaya menyumbat dua gol ketika pertemuan antara kedua-dua pasukan awal bulan lalu.

Di samping mempunyai kemampuan untuk menghidu peluang gol, kelincahan yang dipamerkan Rodriguez dalam perlawanan itu pasti memberikan gambaran bagaimana dia mampu memberikan ketajaman buat pasukan KDA FC.

Selain barisan serangan, penyokong KDA FC turut mendesak pihak pengurusan untuk menambah baik benteng pertahanan kelab itu selepas 25 kali gawang mereka dibolosi setakat ini.

Bagi memperkuatkan bahagian itu, khidmat pemain PSM Makassar, Yuran Fernandes dilihat wajar didapatkan melihat kepada kemampuan dan struktur fizikalnya yang sesuai.

286435699_5110931335665604_1188081034218855600_n

Fizikal dan kemampuan Yuran Fernandes memikat hati penyokong KDA FC — Facebook/PSM Makassar

Pemain kelahiran Cape Verde itu berjaya menempa nama dalam kalangan peminat bola sepak Indonesia setelah berjaya membawa pasukan itu ke perlawanan akhir zon ASEAN Piala AFC musim ini.

Selain itu, Fernandes yang berketinggian 1.98 m dan masih berumur 27 tahun dilihat sebagai pemain import yang sesuai untuk diserap ke dalam skuad Sang Kenari bagi musim hadapan.

Dalam satu hantaran di Facebook, Tanjung Tokong melihat prestasi yang dipamerkan Fernandes ketika bertemu KDA FC dalam separuh akhir zon ASEAN Piala AFC wajar diberi perhatian untuk mendapatkan khidmatnya bagi musim hadapan.

"Saya memang berminat dengan pemain PSM Makassar, Fernandes kerana dia tinggi dan mempunyai kemampuan untuk menanduk bola dengan baik sebagai seorang pertahanan," katanya.

Namun, meskipun KDA FC berminat untuk mendapatkan pemain ini, kejayaan PSM Makassar dalam Liga 1 Indonesia dan saingan Piala AFC pasti memberikan kesukaran dalam mendapatkan pemain import berpotensi ini. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram