Khuzaimi Piee bakal ke Selangor? Ini 4 calon pengganti terbaik di NSFC


  • Podium
  • Rabu, 24 Ogos 2022

Khuzaimi mula mendapat perhatian penyokong bola sepak tempatan apabila dia dipanggil menyertai skuad kebangsaan, Mac lepas. — Facebook/FAM

PERTAHANAN tengah Negeri Sembilan, Khuzaimi Piee dikhabarkan bakal menyertai pasukan Selangor FC pada musim depan dan perkara ini menimbulkan rasa kerisauan dalam kalangan penyokong Hobin Jang Hobin.

Nama Khuzaimi atau lebih mesra dipanggil Jimmy mula mendapat perhatian penyokong bola sepak tempatan apabila pemain berusia 28 tahun itu dipanggil memperkuatkan skuad Harimau Malaya kendalian Kim Pan-gon pada Mac 2022.

Penampilan debut Khuzaimi dibawah kendalian Pan-gon menentang Filipina pada 23 Mac mendapat pujian orang ramai kerana ketenangannya mengawal benteng pertahanan Harimau Malaya.

FZSOmwNaAAELFUC

Penyokong bola sepak memuat naik hantaran di Twitter menyatakan perpindahan Khuzaimi ke Selangor pada musim depan sudah selesai. Facebook/ NSFC

Sejak itu, prestasi pemain berkaki kidal ini sering mendapat perhatian penyokong bola sepak dan dia juga menarik minat beberapa pasukan untuk mendapatkan khidmatnya pada musim depan.

Ini merupakan empat calon pemain pertahanan tengah yang mampu mengisi kekosongan Khuzaimi jika benar meninggalkan NSFC:

rodney

Rodney sudah mewakili empat buah pasukan dalam Liga Malaysia antaranya Sarawak FC, PKNS FC, Selangor FC dan Kedah Darul Aman. Agensi

1. Rodney Celvin (Kedah FC)

Pemain berdarah kacukan Malaysia-Ghana, Rodney Celvin berjaya memikat pengurusan Kedah untuk mengikatnya secara tetap pada tahun ini selepas dipinjamkan oleh Selangor pada musim 2021.

Dikenali dengan corak permainannya yang keras, Rodney digelar kereta kebal oleh penyokong bola sepak tempatan dan sering mendapat pujian daripada penyokong Hijau Kuning atas persembahannya.

Sepanjang bergelar pemain bola sepak, Rodney sudah mewakili empat buah pasukan dalam Liga Malaysia antaranya Sarawak FC, PKNS FC, Selangor FC dan Kedah Darul Aman.

Pemain berusia 25 tahun ini juga pernah mewakili skuad Harimau Muda pada 2018 bagi kejohanan Sukan Asia di Indonesia.

laut02_1633166825

Shahrul terkenal dengan jolokan kereta kebal turut pernah disenaraikan Pan-gon. Facebook/Terengganu FC

2. Shahrul Nizam (Terengganu FC)

Pemain pertahanan tengah Terengganu FC (TFC) ini berjaya membentuk gandingan mantap bersama pasangannya di pertahanan iaitu pemain import dari Senegal, Pape Diakite.

Merupakan pemain kidal, Shahrul terkenal dengan jolokan kereta kebal turut pernah disenaraikan oleh ketua jurulatih Harimau Malaya, Kim Pan-gon sebelum digugurkan dari skuad kelayakan Piala Asia 2022.

Sebelum ini Khuzaimi yang juga berkaki kidal berjaya membalas kepercayaan Kim Pan-gon dan berkemungkinan prestasi Shahrul Nizam juga boleh membuatkan pengendali Negeri Sembilan, K. Devan tersenyum lebar jika berjaya mendapatkan khidmatnya musim depan.

Tetapi untuk membawa pemain pertahanan itu ke pasukan Negeri Sembilan pastinya sedikit sukar apabila dia kini menjadi nadi utama barisan pertahanan TFC.

irfanz

Khidmat Irfan Zakaria ditagih Bojan Hodak pada musim ini. Agensi

3. Irfan Zakaria (Kuala Lumpur City)

Berjaya membawa pasukan Kuala Lumpur City ke pentas akhir Zon ASEAN Piala AFC 2022, Irfan Zakaria merupakan seorang pemain pertahanan yang versatil ketika bertahan.

Khidmat pemain berusia 27 tahun ini ditagih pengendali The City Boys, Bojan Hodak selepas berjaya mengikatnya kembali daripada pasukan Kedah selepas semusim berhijrah ke negeri jelapang padi.

Mempunyai skil kemahiran bertahan yang tinggi serta bacaan bola yang baik, Irfan sering diberi kepercayaan oleh beberapa jurulatih kebangsaan iaitu Datuk Ong Kim Swee, Tan Cheng Hoe dan Kim Pan-gon.

Jika pasukan Negeri Sembilan ingin membawa Irfan Zakaria ke pasukan mereka musim depan, pihak pengurusan harus melakukan kerja dengan segera untuk mendapatkan khidmatnya kerana kontrak dia bersama KL City bakal tamat pada November 2022.

66798178_458020714999431_5935325687001907200_o

Pemain ini selalu mendapat pujian daripada penyokong Sabah. Agensi

4. Rawilson Batuil (Sabah FC)

Pemain pertahanan Sabah, Rawilson Batuil merupakan pemain yang paling lama berkhidmat bersama skuad Sang Badak sejak 2014 sehingga kini.

Sudah hampir lapan tahun berada dalam pasukan Sabah, kedudukan pemain ini tidak pernah tergugat walaupun ketua jurulatih skuad Sang Badak silih berganti.

Tidak mempunyai pencapaian yang besar bersama pasukan Sang Badak, pemain ini selalu mendapat pujian daripada penyokong Sabah.

Namun, cabaran utama untuk membawa pemain ini ke dalam skuad kendalian Negeri Sembilan mungkin agak sukar kerana pemain ini tidak pernah berhijrah ke mana-mana pasukan dalam Liga Malaysia sebelum ini. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram