MESKIPUN kalah tipis 1-2 di tangan Terengganu FC dalam saingan Liga Super pada Ahad lalu, tidak dapat dinafikan prestasi Sri Pahang FC kini lebih cemerlang sejak Datuk Dollah Salleh mengambil alih tugas Christophe Gamel sekitar Jun lepas.
Selain kedudukan Sri Pahang yang berada pada tangga kelima Liga Super dicemburui dalam kalangan pesaing terdekatnya, beberapa pemain di bawah kendalian Dollah juga disebut-sebut sebagai bintang impian dalam kalangan peminat kelab lain.
Jika sebelum ini nama Manuel Hidalgo, Steven Rodriguez, Azam Azih dikaitkan dengan beberapa pasukan, terbaharu giliran pemain tengah, David Rowley pula dikatakan berada dalam radar kelab lamanya iaitu Kedah Darul Aman FC.
Pemain tengah kacukan Malaysia-England itu semakin menyinar di bawah acuan Dollah Salleh terutamanya selepas dia berjaya meledak gol sewaktu menentang Melaka United walaupun Rowley hanya tampil sebagai pemain gantian.
Rowley mula sertai Sri Pahang pada awal musim 2022. — Instgaram Rowley
Dia yang pernah menyertai Sang Kenari pada musim 2019-2020 nampaknya diseru kembali oleh penyokong KDA FC selepas melihat prestasi cemerlangnya bersama Sri Pahang.
“Kena panggil balik dia ini, makin lama makin padu,” kata penyokong KDA FC, bundle selam live.
“Dollah Salleh kata abang misai ini boleh main dengan baik di semua posisi. Letaklah mana pun, memang dia berikan terbaik,” tulis Zulkifli bin Ismail Zul.
“Pemain yang keluar dari Kedah semua okay main dengan kelab lain. Mungkin tak sesuai dengan cara jurulatih. Ada yang simpan tak main-main,” komen Saf.
Sepanjang dua musim bersama Kedah, David merasai kejuaraan merangkul Piala FA pada musim 2019. — Instagram Rowley
Sementara itu, bagi penyokong Tok Gajah pula mereka mengalu-alukan jika skuad Hijau Kuning ingin merekrut semula bekas pemain KDA FC itu.
Rata-rata penyokong Tok Gajah tidak menggemari gaya permainan yang ditunjukkan pemain berusia 32 tahun itu dan berdasarkan laman TransferMarket juga Rowley hanya meledak tiga gol bersama Sri Pahang.
“Ambillah balik. Tidak kisah pun. Dia ini cuma boleh tunggu depan pintu gol saja. Kalau diturunkan sebagai kesebelasan utama memang hancur. Kawalan bola out, passsing out, drible out,” komen Zelan Mohamad.
“Ambillah semula. Ada pun macam tunggu kayu buat apa,” tulis KTN AdieidAdie.
Untuk rekod, selain menyarung jersi Sri Pahang dan Kedah, Rowley juga pernah bermain untuk Negeri Sembilan (2018), Kelantan (2019) dan Penang FC pada 2021. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram