SEORANG wanita bertudung didakwa sengaja mempersendakan agama Islam, selepas dilihat melakukan ritual agama lain.
Tidak dapat dipastikan agama sebenar wanita itu, namun, dia dipercayai mahu menilik nombor ekor di sebuah altar sembahyang.
Menerusi video tular di laman Twitter, wanita tersebut bertanya tentang cara-cara melakukan upacara penyembahan tersebut kepada seorang lelaki.
Dalam video sama, lelaki itu mengarahkan wanita tersebut membakar tiga batang colok sebelum tunduk tiga kali serta menyatakan hasrat yang ingin dicapai.
"Heng ong huat (semoga semakin kaya).
"Buy Toto kena Toto. Buy 4D kena 4D," kata lelaki tersebut.
Lokasi dan tarikh sebenar kejadian tidak dapat dipastikan tetapi ia dipercayai berlaku di Malaysia berdasarkan loghat kedua-dua individu tersebut.
Rakaman tular itu berlaku ketika negara masih hangat memperkatakan tindakan seorang wanita wanita yang didakwa menghina agama Islam di sebuah kelab di Taman Tun Dr Ismail (TTDI), Kuala Lumpur pada awal bulan lalu.
Wanita yang memperkenalkan dirinya sebagai Siti Amira Abdullah didakwa mempermainkan agama Islam semasa membuat persembahan komedi di Crackhouse Comedy Club, TTDI.
Selepas memperkenalkan diri, Siti Amira membuat kejutan apabila dia yang tampil sopan mengenakan tudung dan baju kurung Kedah tiba-tiba menanggalkan pakaian itu hadapan khalayak ramai.
Dia dilihat mengenakan baju seksi bertali halus (spaghetti strap) berwarna hitam dan skirt singkat paras paha berwarna coklat.
Selain kes itu, terdapat beberapa lagi insiden yang dilihat sengaja mengusik isu agama.
Pada Februari 2019, tular seorang wanita bertudung memegang lilin dan melakukan ritual penyembahan di sebuah tokong, dipercayai berlaku di Sarawak.
Pada Jun tahun sama, seorang lelaki berpakaian kain pelikat dan berkopiah turut melakukan ritual di sebuah tokong kecil di Tanjung Piandang, dekat Parit Buntar, Perak.
Kedua-dua kes tersebut mendapat kecaman daripada orang ramai terutamanya umat Islam di negara ini, berikutan sengaja mencipta provokasi menghina agama. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram