PENANTIAN peminat sukan tanah air ternoktah setelah Malaysia Football League (MFL) pada Selasa mengumumkan bahawa Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ), Kuala Lumpur dipilih sebagai venue perlawanan akhir Piala FA 2022.
Aksi final melibatkan dua pasukan gergasi, Terengganu FC (TFC) dan Johor Darul Takzim (JDT) itu akan berlangsung pada 10 September, pukul 9 malam.
Pemilihan tersebut dibuat dengan mengambil kira keadaan padang, kapasiti stadium yang mampu menampung penyokong kedua-dua pasukan, akses kepada perkhidmatan awam dan aspek-aspek keselamatan lain.
Pengumuman tersebut secara tidak langsung memadam harapan kedua-dua penyokong pasukan terlibat untuk menggunakan kelebihan sebagai tuan rumah bagi melemahkan semangat pasukan lawan.
Rata-rata peminat dilihat berpuas hati kerana keputusan itu dianggap adil bagi kedua-dua penyokong yang perlu ke ibu negara untuk memberikan sokongan kepada pasukan masing-masing di pentas final.
Konsert Dewa 19 laris terjual dalam tempoh satu jam.
Cuma pada masa sama, timbul satu persoalan memandangkan aksi final tersebut bertembung dengan tarikh konsert kumpulan muzik terkenal Indonesia, Dewa 19 yang bakal diadakan di Stadium Axiata Arena, Bukit Jalil, Kuala Lumpur yang terletak bersebelahan SNBJ.
Lokasi venue konsert dan venue perlawanan akhir yang berdekatan itu dijangka akan menyebabkan jalan sesak sekali gus menyukarkan pergerakan pengunjung kedua-dua acara berkenaan.
Mohd Syazwan Bajuri berkata: "Terbaik. Arena ada konsert Dewa 19, Stadium Nasional ada final bola. Good luck semua."
"Bertembung dengan konsert Dewa 19 di Axiata. Memang akan huru-hara keadaan di situ," kata Kamarul Arifin.
AB Hassan Azhari yang skeptikal dengan tarikh tersebut: "Nanti pasti pinda tarikh atas nasihat polis. Tak nak bertembung dengan konsert Dewa 19.
"Susah nak kawal katanya. Sabar sahaja. Tak payah nak teruja sangat," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram