KETUA Jurulatih Terengganu FC (TFC), Nafuzi Zain menyambut baik pemilihan tarikh dan tempat bagi pentas akhir Piala FA 2022 kerana beliau menyifatkan pasukan mempunyai masa mencukupi melakukan persediaan.
Pada Selasa, Malaysian Football League (MFL) mengumumkan perlawanan final antara TFC dan Johor Darul Takzim (JDT) akan berlangsung pada 10 September depan di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ), Kuala Lumpur bermula pukul 9 malam.
Nafuzi berkata, keputusan berkenaan pastinya menggembirakan penyokong Terengganu yang cukup teruja untuk hadir ke stadium yang mampu memuatkan sehingga 80,000 penonton ini.
Malah, beliau juga bersyukur dengan tempoh masa yang ada akan memberikan ruang mencukupi buat skuad Penyu bagi melakukan segala persiapan untuk menentang Harimau Selatan.
Nafuzi menyambut baik tarikh final Piala FA 2022. — Facebook TFC
“Satu berita yang baik sebab daripada pasukan dan pemain memang tertunggu-tunggu keputusan ini jadi sekarang kita sudah dapat tarikh dan kita akan bersedia menjelang tarikh itu.
“Cuma sekarang kita boleh fokus dekat Liga Super terlebih dahulu sebab kita pun ada beberapa aksi sebelum final Piala FA.
“Tapi bila dah ada tarikh, penyokong terutamanya senang untuk menguruskan perjalanan mereka dan boleh buat apa-apa perancangan lebih awal.
“Pertemuan JDT dan TFC ini memang menarik dan keterujaan daripada penyokong memang dinantikan sebab kali terakhir kita ke final pun 11 tahun lepas, jadi inilah suasana yang ditunggu-tunggu”, katanya seperti dilaporkan MFL.
Dalam pada itu, berhubung penundaan perlawanan Liga Super yang turut membabitkan juara Piala FA 2011, Nafuzi berkata, bahawa pasukannya mempunyai masa untuk mendapatkan kembali kecergasan sejurus berakhir aksi final nanti.
Aksi Liga Super antara Terengganu FC dan Penang FC yang dijadualkan pada 9 September 2022 bakal dipinda pada 14 September 2022 selain perlawanan tertangguh LS9 melibatkan Terengganu menentang Melaka United FC juga dipinda dari 2 September 2022 kepada 3 September 2022.
“Bagi saya tiada masalah pun sebab sebelum final kita pun ada aksi liga menentang Melaka United.
“Jadi kita ada masa mencukupi untuk berehat dan seterusnya bersedia untuk ke final, jadi saya rasa tempoh masa yang diberikan adalah bersesuaian”, jelasnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram