WALAUPUN warga emas Painah Siwan yang dilaporkan hilang di Kampung Parit Sayang, Senggarang, Batu Pahat, Johor selama enam hari sudah ditemui Isnin lalu, namun kejadian tersebut masih menjadi buah mulut masyarakat sekeliling.
Mana tidaknya, insiden yang menimpa warga emas itu mempunyai pelbagai kisah misteri yang tersendiri.
Berusia 79 tahun, nenek yang lebih dikenali dengan nama Wak Painah itu ditemukan oleh penduduk kampung, yang turut menyertai pasukan mencari dan menyelamat (SAR) pada pukul 11.25 pagi Isnin.
Wak Painah ditemui dalam lingkungan 900 meter dari pos kawalan operasi bersama sepasang selipar dan secekak lidi daun sawit yang sebahagiannya telah diraut.
Dalam satu video yang dimuat turun oleh salah seorang penduduk kampung melalui aplikasi TikTok itacomely, menunjukkan daun sawit yang dijumpai bersama Wak Painah masih lagi segar walaupun setelah enam hari hilang.
"Antara barang-barang bukti yang dijumpai bersama Wak ketika ditemui.
"Dengan kuasa ALLAH, daun-daun itu tidak kering setelah enam hari tidak dijumpai," katanya.
Wak Painah ditemui bersama sepasang selipar dan secekak lidi daun sawit yang sebahagiannya telah diraut.
Kehilangan Wak Painah itu dipercayai dikaitkan dengan misteri alam ghaib ataupun diculik bunian.
Sebelum ini, Majoriti melaporkan salah seorang anaknya hampir berjaya menarik emaknya keluar dari alam ghaib selepas hijab penglihatannya terbuka.
Meskipun begitu, usaha untuk membebaskan emaknya gagal setelah anaknya dikatakan berada dalam keadaan lemah ketika itu.
Eddy (kanan) mendakwa menemui mangsa dalam keadaan terduduk di kawasan paya.
Dalam satu lagi video berasingan yang dimuat naik cikgubob3974, seorang lelaki mendakwa menemui mangsa kawasan 'disembunyikan' berdekatan paya dipercayai tempat kumbahan babi.
Lelaki yang dikenali sebagai Eddy itu mendakwa menemui mangsa dalam keadaan terduduk di kawasan paya terbabit.
"Melalui mata kasar, mangsa kelihatan seperti batu tapi bila didekati, kita tengok manusia.
"Alhamdulillah, mangsa pada ketika itu masih bernyawa cuma keadaan mangsa ketika itu lemah," katanya dalam video tersebut.
Kejadian hilang di alam ghaib ataupun diculik bunian seperti yang dikaitkan penduduk dengan kehilangan Wak Painah bukanlah satu perkara yang pelik dalam kalangan masyarakat Melayu kerana kepercayaan itu sememangnya wujud sejak dahulu lagi.
Sesetengah pihak mungkin berpendapat ia hanya mitos atau pemikiran kolot yang masih diterapkan di zaman serba moden kini, namun sehingga ke hari ini kejadian tersebut masih berlaku dan menjadi tanda tanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram