'Ibarat patah sebelah sayap' — Ketahui pro-kontra 2 'right winger' import idaman Sang Kenari


  • Podium
  • Rabu, 17 Ogos 2022

Rata-rata penyokong Kedah berpendapat Azammuddin Akil sudah tidak selincah dulu, mungkin atas faktor usianya yang mencecah 37 tahun.

KEDAH Darul Aman (KDA) FC sebelum ini disaran supaya segera mengambil tindakan cepat dan sewajarnya dalam menangani masalah yang membelenggu pasukan itu bagi menghadapi saingan musim depan.

Perkara itu termasuk meneliti semula barisan pemain sedia ada melanjutkan kontrak mereka, selain memikirkan kemasukan pemain baharu.

Seorang penyokong Kedah, Tanjung Tokong berpendapat, dua import yang bermain di posisi sayap kanan harus diberi perhatian untuk dibawa masuk ke Kedah musim depan.

"Kedah perlu cari winger kanan season depan untuk membantu serangan Kedah yang bermain umpama patah sayap sebelah kanan," katanya di laman Penyokong Setia Kedah darulaman fc (PSKDAFC).

Tanjung Tokong juga mencadangkan dua nama iaitu pemain import Melaka United FC (MUFC), Sony Norde dan juga import Bangkok United yang kini bermain di Liga Thai, Heberty Fernandes de Andrade.

Ketika ini, Kedah mengharapkan Al-Hafiz, 28, dan Azammuddin Akil, 37, untuk mengisi posisi tersebut.

"Bagi aku kalau betul-betul nak kejar kejuaraan liga bolehlah ambil Heberty, pengalaman dengan Muangthong United dan Bangkok United di Liga Juara-Juara Asia (ACL) Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC).

"Heberty, umur 33 tahun, kelab sebelum ini Bangkok United dan berpengalaman bermain ACL bersama Muangthong United dan Bangkok United. (Dia tersenarai) dalam top scorer Liga Thai," katanya.

Berikut merupakan pro dan kontra jika Kedah benar-benar berhasrat menyambar kedua-dua pemain import tersebut musim depan:

sony_norde_24112021

1) Sony Norde

Pro: Ketua pasukan Melaka United dari Haiti itu mempunyai kelebihan menghasilkan gerakan serangan merbahaya dari bahagian sayap. Selain sayap kanan, pemain yang terkenal dengan panggilan Magician dalam kalangan penyokong MUFC itu juga berupaya bermain di posisi sayap kiri.

Meskipun berusia 33 tahun, Norde memiliki ketahanan stamina yang kuat serta tidak berdepan masalah untuk bermain selama 90 minit.

Kontra: KDA FC mungkin tidak mampu untuk mendapatkan Norde atas faktor kewangan. Ini kerana KDA FC dalam sesi dialog bersama kelab penyokong Hijau Kuning mendedahkan permintaan jurulatih, Aidil Sharin Sahak untuk mendapatkan Norde sebelum ini ditolak kerana faktor ekonomi kelab.

61f782536c

2) Heberty Fernandes

Pro: Pemain sayap dari Sao Paulo, Brazil itu dianggap antara pemain prolifik Bangkok United. Selain boleh bermain di posisi sayap, Heberty juga boleh membantu bahagian serangan kerana dia mampu bertindak sebagai pemain tengah menyerang (CAM).

Pernah merangkul Anugerah Pemain Import Terbaik dan Skuad Terbaik bagi 2021/2022, dia membuat 32 penampilan dengan 17 jaringan gol bersama Bangkok United sepanjang musim itu.

Bersama kelab lama, Muangthong United, Heberty turut tampil dalam 44 perlawanan dan berjaya menjaringkan 38 gol.

Kontra: Yuran perpindahan Heberty dikhabarkan agak tinggi. Berdasarkan transfermarkt.com, nilai pasaran semasanya ialah €600,000 (RM1.36 juta).

Angka itu bagaimanapun jauh rendah ketika dia bersama Muangthong United sebelum ini. Ketika itu, nilai pasarannya mencecah €1,000,000 (RM4.54 juta).

Heberty dikhabarkan hampir-hampir disambar oleh JDT semasa dia bersama Muangthong United. Namun atas beberapa perkara, perpindahan itu tidak direalisasikan.

Untuk rekod, kontraknya bersama Bangkok United hanya luput pada 31 Mei tahun depan. Jadi, agak mustahil untuk KDA FC untuk mendapatkan khidmat beliau ketika saingan liga sudah memasuki pertengahan musim. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram