Dakwaan kedai makan di Sungai Ara ambil stok nasi ayam, nasi itik daripada pembekal bukan Islam, JHEAIPP diarah siasat


  • Primer
  • Selasa, 16 Ogos 2022

Tangkap layar video tular yang mendakwa dua pekerja kedai makan Melayu mengambil bekalan makanan dari kedai bukan Islam. — Facebook

KERAJAAN negeri Pulau Pinang mengarahkan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP) menjalankan siasatan berhubung dakwaan peniaga Muslim di Sungai Ara, Pulau Pinang mengambil bekalan nasi ayam dan nasi itik daripada restoran bukan Islam.

Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman berkata, dakwaan itu serius dan siasatan perlu dijalankan secara menyeluruh kerana melibatkan sensitiviti orang Islam.

"Saya sudah mengarahkan beberapa agensi termasuk JHEAIPP menjalankan siasatan berhubung dakwaan itu kerana melibatkan sensitiviti orang Islam dan mereka sedang menjalankan siasatan secara menyeluruh.

"Saya difahamkan siasatan dijalankan berdasarkan apa yang terkandung dalam media sosial sahaja setakat ini kerana kita belum mendapat sebarang aduan rasmi. Kita respons ke atas apa yang kita dapat maklumat melalui media,” katanya.

Beliau berkata, siasatan awal oleh pentadbiran agama itu telah dibuat namun belum lengkap kerana ada lagi yang perlu diambil kira, selain mendapatkan maklumat secara sahih sebelum sebarang tindakan dibuat.

Menurut Ahmad Zakiyuddin yang juga Yang Dipertua Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP), pemilik dan pekerja kedai serta beberapa individu yang didakwa terlibat dengan kedai makan itu telah dikenal pasti dan kemungkinan akan dipanggil untuk siasatan dalam masa terdekat.

Sementara itu, Ketua Pegawai Peguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Pulau Pinang, A.Mogan ketika dihubungi berkata, JHEAIPP ada memaklumkan mahu menjalankan siasatan susulan kes itu bersama pihaknya.

"Saya dimaklumkan kes itu sedang disiasat oleh JHEAIPP dan mereka (JHEAIPP) nak adakan siasatan susulan bersama KPDNHEP berhubung kes tersebut," katanya.

Sejak Isnin, tular video berdurasi dua minit 38 saat berhubung dua lelaki Melayu dilihat memasuki sebuah restoran bukan Islam di Paya Terubong, Pulau Pinang dipercayai untuk mengambil nasi ayam dan menjualnya di gerai milik orang Melayu di Sungai Ara.

Rakaman video itu telah mencetuskan rasa tidak puas hati dalam kalangan pengguna Muslim kerana merasakan peniaga tersebut telah menipu pelanggannya dengan mendapatkan bekalan daripada sumber tidak halal. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram