Cools kurang minit permainan musim ini, 'fans' tuding jari salahkan JDT umum awal


  • Podium
  • Selasa, 16 Ogos 2022

Cools gagal mendapat tempat di Midtjylland musim ini sebelum dipinjamkan ke S.V. Zulte Waregem. — Agensi

MAJORITI peminat sukan bola sepak tempatan berasa simpati dengan pemain pertahanan negara, Dion Cools yang seakan-akan dianaktirikan apabila kurang memperoleh minit perlawanan bersama kelabnya musim ini.

Lebih menyedihkan, Cools yang kini bersama sebuah kelab Denmark, Midtjylland FC tidak tersenarai dalam mana-mana perlawanan pasukan tersebut.

Bahkan, Cools juga dilaporkan tidak dibawa bersama pasukannya itu ketika pra musim sebelum akhirnya dipinjamkan ke kelab Belgium, S.V. Zulte Waregem.

Melihat nasib pemain berusia 26 tahun tersebut, rata-rata penyokong bola sepak tempatan mahu pasukan Johor Darul Takzim (JDT) segera menandatangani Cools.

Ketar Ketir menerusi laman Facebook Semuanya BOLA Group berasa sedih dengan nasib pemain kelahiran Sarawak itu yang semakin terabai di kelab Eropah terbabit.

"Sungguh kasihan nasib Cools musim ini. Dia tidak dapat minit permainan walaupun satu saat. Semakin suram masa depan Cools di Eropah.

"Kalau JDT mahukan dia, sepatutnya pinjam atau tebus kontrak. Bukannya tunggu sampai kontrak Cools bersama Midtjylland berakhir," dakwanya.

Tunku Ismail (tengah) bersama Martin Priest (kiri) dan Alistair Edwards mengumumkan mengenai pemindahan Cools pada perjumpaan bersama penyokong JDT Jun lalu. Agensi

Kaysan Wabil pula berpendapat, tindakan JDT membuat pengumuman awal mengenai pemindahan Cools menjadi punca dia dilayan seperti itu.

"Inilah yang terjadi apabila ada kelab menjalankan urusan dengan pemain dengan menggunakan pintu belakang.

"Pemain masih ada kontrak tapi kelab lain dah umumkan yang pemain itu akan jadi pemain mereka musim akan datang.

"Kelab profesional di Eropah memang akan 'peram' pemain macam ni. Lebih baik mereka bagi peluang kepada pemain muda yang akan bersama mereka untuk jangka masa lama.

"Sedih bila fikir bekas ketua pasukan negara kita dilayan sebegini," dakwanya.

Terdahulu, pemilik JDT, Tunku Ismail Sultan Ibrahim mendedahkan, pampasan tinggi yang perlu dibayar kepada Midtjylland antara sebab mereka tidak mendapatkan Cools musim ini.

Menurut Pemangku Raja Johor itu, skuad Harimau Selatan terlebih dulu akan menunggu sehingga kontrak Cools tamat sebelum membawanya masuk ke Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, Johor musim depan.

Untuk rekod, nilai semasa pemain berdarah kacukan Belgium-Malaysia itu di pasaran antarabangsa ketika ini dianggarkan mencecah mencecah 850,000 pound (RM4.5 juta).

Meskipun langsung tidak diturunkan Midtjylland, Cools tetap membuat 11 penampilan sepanjang dipinjamkan ke S.V. Zulte Waregem, selain dijangka kekal menjadi taruhan pengendali Harimau Malaya, Kim Pan-gon menjelang aksi persahabatan empat penjuru King's Cup pada September depan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram