Pemaju diminta bina tembok penahan baharu di Taman Pertama


  • Primer
  • Rabu, 10 Ogos 2022

Sebahagian daripada penduduk dan wakil pemaju yang hadir dalam mesyuarat di DBKL.

STUKTUR tembok penahan baharu perlu dibina oleh pihak pemaju di Taman Pertama, Cheras, Kuala Lumpur bagi mengukuhkan struktur binaan yang terletak bersebelahan kawasan perumahan.

Ketua Pegawai Eksekutif Institut Kerja Raya Malaysia (Ikram), Datuk Mohd Taufik Haron berkata, pemaju perlu membuang sebahagian dinding yang telah beralih ekoran kerja pembinaan dan membina temboh penahan yang baharu di bahagian atas.

"Kami juga telah mengemukakan beberapa cadangan termasuk memasang piezometer (untuk mengukur tekanan air bawah tanah) di sekeliling dinding," katanya.

Mohd Taufik berkata demikian ketika mengadakan pertemuan dengan pemaju, penduduk dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) di Menara DBKL 1, Jalan Raja Laut, Kuala Lumpur pada Rabu.

Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Mahadi Che Ngah turut hadir mempengerusikan mesyuarat itu.

Pemaju juga diminta oleh Ikram untuk memperbetulkan struktur binaan beberapa rumah yang terjejas.

Terdahulu, berlaku runtuhan tembok di Jalan Selangat pada 22 Mei lalu berpunca daripada projek kondominium berhampiran.

Kesan runtuhan itu turut melibatkan kawasan perumahan berhampiran sehingga DBKL mengeluarkan arahan untuk pemaju menghentikan kerja pembinaan, manakala penduduk yang terkesan pula dipindahkan.

Seorang wakil perunding pemaju berkata, pemantauan di tapak itu sedang dijalankan.

"Kami akan membina semula rumah nombor 49, yang terjejas secara langsung akibat runtuhan tembok itu.

"Anggaran tempoh pembinaan adalah setahun selepas pelan bangunan diluluskan," katanya.

Jelasnya, sebanyak 15 rumah berhampiran lokasi runtuhan tembok juga sedang dipantau.

Ujarnya, ada yang telah diisytiharkan selamat untuk diduduki manakala yang lain memerlukan pemeriksaan lanjut.

"Rumah yang mengalami kerosakan kecil akan dibaiki," kata wakil perunding itu.

Sementara itu, Ahli Parlimen Cheras, Tan Kok Wai berkata, pemaju diharapkan dapat memberi maklumkan terkini kepada penduduk dari semasa ke semasa.

Penduduk, Wong Yoon Fui, 43, pula berharap pemaju akan membeli rumahnya kerana terdapat banyak lubang yang muncul sebelum tembok tersebut runtuh.

"Lubang pertama dikesan pada Disember lalu di perkarangan rumah dan semakin banyak yang terjadi selepas hujan lebat.

"Menjelang Mac, saya ambil keputusan untuk berpindah kerana risau dengan keselamatan diri," katanya yag tidak bercadang untuk kembali tinggal di rumah itu. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram