Wanita ditahan rosakkan kereta jiran di Ampang


  • 112
  • Rabu, 10 Ogos 2022

Suspek bertindak demikian kerana mendakwa mangsa meletakkan kenderaan di kawasan tanah rumah miliknya.

POLIS menahan seorang wanita dipercayai merosakkan kereta milik jirannya dalam kejadian di Taman Sri Keramat, Ampang, Selangor pada Selasa.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, suspek bertindak demikian kerana berang kereta tersebut diletakkan di atas tanah yang didakwa miliknya sejak Ahad.

Menurutnya, semasa mangsa ingin menggunakan kereta miliknya itu pada Isnin, mangsa mendapati cermin sisi keretanya diumpil.

"Mangsa kemudian memanggil suspek dan bertanyakan suspek sama ada suspek melakukan perbuatan tersebut, suspek kemudian mempersoalkan tindakan mangsa yang meletakkan kereta di tanah tersebut.

"Berlaku pertengkaran mulut antara mangsa dan suspek, bagaimanapun mangsa mengambil keputusan untuk terus masuk ke dalam rumah kerana tidak ingin mengeruhkan lagi keadaan," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Mohamad Farouk berkata, kira-kira pukul 9 pagi pada Selasa, mangsa dikejutkan ibunya yang memaklumkan suspek datang ke rumahnya dan mengaku merosakkan kereta milik mangsa.

"Suspek bertindak demikian kerana mendakwa mangsa meletakkan kenderaan di kawasan tanah rumah milik suspek.

"Bagaimanapun, siasatan dijalankan mendapati tanah tersebut merupakan milik pihak berkuasa tempatan (PBT)," katanya.

Tambah beliau, suspek kemudian diberkas untuk siasatan lanjut.

"Suspek bagaimanapun menafikan dia merosakkan kereta milik mangsa dan kes disiasat di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram