Tahun tanpa piala dan stadium, 3 skuad Selangor FC berkongsi skrip 'sadis' yang sama


  • Podium
  • Khamis, 11 Ogos 2022

Gergasi Merah berdepan prestasi tidak menentu musim ini. — Agensi

BELUM reda dengan kekalahan pahit Selangor FC di tangan Terengganu FC (TFC) pada perlawanan separuh akhir Piala FA baru-baru ini, skuad muda Selangor FC II pula menambah lagi keperitan penyokong Gergasi Merah apabila tewas 0-1 di tangan PDRM FC dalam aksi Liga Perdana pada Selasa.

Sebuah lagi perlawanan melibatkan Selangor juga berakhir dengan kekecewaan apabila skuad B21 Selangor tewas di tangan JDT III pada separuh akhir pertama Piala Presiden sebelum ini.

Mengalami kekalahan berturut-turut pada ketiga-tiga peringkat liga, sekali gus membuktikan tanggapan peminat setia Merah Kuning bahawa kelab itu sememangnya ketandusan pemain dan pelapis muda yang berkualiti.

Penyokong Merah Kuning yang sentiasa dahagakan kemenangan, nyata cukup 'bengang' dengan prestasi yang dipamerkan oleh Gergasi Merah apabila melontarkan kata-kata negatif di Facebook.

Farid Kamil meletakkan kesalahan sepenuhnya pada presiden kelab berkenaan yang dikatakan langsung tidak berfungsi dan perlu ditukar segera.

Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah merupakan Presiden Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS). — Sinar Harian

"Selagi presiden tak letak jawatan, selagi tu Selangor ke parit," katanya.

Tambah Nasruddin Khamis: "Berkat kesabaran korang layan permainan di bawah pengurusan yang sama, maka inilah hadiah termanis buat fans yang tersayang.

"Tahun tanpa piala, tanpa stadium, tanpa Asia dan tanpa bunga api," katanya.

Mengulas lanjut isu pengurusan pasukan, Selangor FC telah mengesahkan bahawa Michael Feichtenbeiner telah melepaskan jawatan sebagai ketua jurulatih setelah menggalas tanggungjawab itu selama setengah musim.

Kekosongan yang ditinggalkan Feichtenbeiner kini disandang oleh Nidzam Jamil selaku ketua jurulatih interim sehingga penghujung musim.

Selangor FC hanya berjaya mencatatkan satu kemenangan dalam lima aksi terakhir Liga Super, selain sekadar mengutip 16 mata selepas 13 perlawanan sekali gus menghuni tangga kelapan Liga Super.

Selepas ini dalam aksi Liga Super, Selangor bakal bertemu Terengganu FC (TFC) pada 17 Ogos dan semestinya peminat Merah Kuning enggan berputih mata buat kali kedua selepas ditunjukkan jalan keluar oleh lawan yang sama di peringkat separuh akhir Piala FA sebelum ini. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram