SEHINGGA kini aktiviti lumba haram ataupun merempit masih menjadi hiburan anak muda meskipun menyedari bahawa perkara itu boleh meragut nyawa mereka.
Jika berbicara mengenai hukum seseorang yang meninggal dunia ketika sedang berlumba motosikal, penceramah selebriti, Ustaz Azhar Idrus (UAI) menegaskan ia umpama membunuh diri.
Menjelaskan perkara itu, Azhar berkata, ulama menfatwakan berlumba motosikal di kawasan yang memudaratkan diri seperti jalan raya yang sibuk adalah haram.
“Contohnya apabila dia berlumba dengan keadaan ada lori di depan, ia haram. Perkara itu bukan dia nak cepat sebab nak menuju ke satu destinasi tapi niat nak berlumba, bersuka-suka sehingga merosakkan diri.
“Budak-budak kita sekarang berlumba, buang brek, tak pasang lampu malam, meniarap atas motosikal. Itu semua haram dan seperti bunuh diri, terus masuk neraka,” katanya menerusi klip ceramahnya.
Namun, Azhar berkata, berbeza pula dengan mereka yang berlumba di tempat lapang, lengkap dengan pakaian keselamatan serta tiada sebarang halangan seperti kenderaan awam maka hukumnya adalah makruh.
Tambah beliau, setiap permainan yang bukan sunah adalah makruh terutamanya yang kian menjadi kegemaran orang ramai.
“Terjun bungee ramai dah mati, dapat seronok sahaja jadi jelas haram. tidak ada satu kelebihan yang kita dapat.
“Tapi kalau kita belajar silat, taekwando dan sebagainya. Bila kita kena lembing dan mati itu bukan bunuh diri sebab ada pengetahuan membela diri,” jelasnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram