KEGIATAN seorang lelaki warga asing menjual pistol mainan yang kelihatan seperti laras senapang automatik jenis M4 dan beberapa model senjata api terkenal terbongkar apabila ditahan polis di sekitar Sentul, di ibu negara pada Selasa.
Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, lelaki berusia 26 tahun itu dikesan memandu sebuah Perodua Myvi berwarna hitam dalam keadaan mencurigakan lalu ditahan oleh dua anggota unit peronda yang sedang bertugas sekitar pukul 11.20 pagi.
"Hasil pemeriksaan atas kereta tersebut menjumpai pelbagai jenis senjata tiruan di tempat duduk penumpang hadapan dan belakang.
"Sebanyak 25 laras senjata rifle tiruan, dua pucuk pistol mainan yang tidak berjenama dan 480 butir peluru plastik jenis tidak pasti dirampas," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul.
Eng Lai berkata, suspek tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan sewaktu ditahan, bagaimanapun dipercayai lelaki warga asing itu menetap di dalam negara sejak empat tahun lalu.
Katanya, siasatan awal mendapati suspek memperoleh 'senjata api' berkenaan dari negara China lalu dipasarkan di Malaysia menerusi platform jualan dalam talian dengan harga lingkungan RM50 hingga RM200 dan dipercayai aktif sejak Oktober 2021.
Tambahnya, hasil soal siasat sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) IPD Sentul menjalankan dua serbuan berasingan di sebuah premis perniagaan dan kediaman di Taman Fadason, Jinjang dan sebuah kediaman di Taman Megah, Kepong, Kuala Lumpur pada pukul 9 malam pada Selasa.
"Dalam dua serbuan ini, pihak polis berjaya merampas sebanyak 731 pucuk pistol tiruan pelbagai jenis, 198 laras senapang tiruan pelbagai jenis dan 1,149 laras rifle tiruan pelbagai jenis dianggarkan bernilai RM318,520," katanya.
Mengulas mengenai tindakan yang dikenakan terhadap pistol mainan berkenaan, Eng Lai menegaskan bahawa walaupun hanya sekadar mainan tetapi jika menyerupai pistol sebenar salah di sisi undang-undang untuk memiliki atau menyimpan.
"Walaupun mainan, kelihatan seperti pistol sebenar malah ada yang diperbuat daripada besi. Jika pistol mainan yang berwarna-warni itu kita tahu, tengok dari jauh pun tahu itu mainan.
"Tetapi pistol ini seperti yang sebenar, menggunakan peluru plastik dan 'soft gel' yang boleh mendatangkan kecederaan jika disalahgunakan," jelasnya.
Sehubungan itu, beliau berkata, suspek direman tiga hari bermula Rabu untuk membantu siasatan di bawah Seksyen 36 (1) Akta Senjata 1960 dan Seksyen 6 (1) ( c) Akta Imigresen 1959/63. — Sinar Harian
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram