TIDAK bercampur dengan kelompok beragama merupakan salah satu daripada faktor masyarakat Melayu mudah terpengaruh dalam mengikuti ajaran sesat di negara.
Mufti Pahang, Datuk Seri Dr Abd Rahman Osman menjelaskan, masyarakat Melayu yang tidak bergaul dengan kelompok masjid dilihat mudah untuk terpesong daripada mengikuti akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah.
Menurutnya, untuk lebih memperkukuhkan akidah adalah dengan datang ke masjid dan mendengar ceramah daripada individu yang berkelayakan, bukannya bergantung harap pada internet.
“Mereka ini tidak bercampur dengan masyarakat berjemaah iaitu bergaul dengan orang-orang masjid, dengar ceramah.
“Dari situ dia boleh kuatkan akidah sebab pergi majlis ilmu yang sebenar adalah dari masjid. Jika dia pergi majlis ilmu yang lain, itulah boleh terpesong. Kemudian bila lagi dia banyak tengok di internet.
“Cara hidup kita perlu ikuti sunnah Rasulullah dan ke masjid adalah sunnah baginda. Cuba tanya yang ikut ajaran sesat itu, mereka dapat ilmu daripada mana. Pergi masjid ke tidak,” katanya kepada Majoriti.
Selain itu, bagi Abd Rahman, faktor lain masyarakat Melayu lain mudah mengikuti ajaran sesat ialah tidak mengamalkan agama Islam dalam kehidupan seharian.
Jelasnya, golongan tidak beramal itu lebih mudah terpengaruh kerana mereka tidak jelas sama ada amalan dalam ajaran sesat berkenaan menepati Islam ataupun sebaliknya.
Video tular ajaran sesat Hadi Minallah.
Sebelum ini, tular sebuah video memaparkan tindakan beberapa wanita berniqab memeluk dan mencium tangan seorang lelaki dipercayai pengasas ajaran sesat Hadi Minallah, Wayang Hadi Kesumo atau Hadi Minallah Aminnullah Ahmad dalam satu majlis yang diadakan di Langkawi, Kedah.
Malah, menerusi video itu juga dipaparkan beberapa perkara mengenai ajaran itu yang sangat bercanggah dengan agama Islam seperti pengakuan pengasas ajaran yang tiada agama, menyebarkan makrifat fahaman sesat iaitu Nur Muhammad, pluralisme agama yang dakwanya Tuhan tidak melihat kepada agama dan menolak hadis.
Susulan itu, pada Isnin, media melaporkan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) bekerjasama dengan PDRM dan agensi berkaitan untuk melakukan siasatan dan tindakan susulan terhadap kegiatan kumpulan Hadi Minallah tersebut. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram