KEKALAHAN Kedah Darul Aman (KDA FC) ke atas PSM Makassar, 1-2 dalam pertemuan pada Selasa di Stadium Kapten I Wayan Dipta, Bali, Indonesia benar-benar mengecewakan penyokong.
Harapan tinggi sebenarnya diletakkan penyokong untuk KDA FC layak ke peringkat akhir Zon Asean Piala AFC 2022.
Namun, disebalik kekecewaan itu, ada satu perkara positif yang boleh dilihat oleh Sang Kenari untuk dijadikan bekalan bagi menghabiskan saingan Liga Super dan mempersiapkan pasukan bagi saingan musim depan.
Menurut seorang pemerhati sukan, Don K-Rul Izham, dia melihat pemain sayap KDA FC, Fayadh Zulkifli yang menjaringkan gol ketika perlawanan menentang PSM Makassar sebagai sesuatu yang sangat positif.
Fayadh Zulkifli menjaringkan satu gol ketika menentang PSM Makassar pada Selasa. — AFC Cup
"Fayadh berjaya menjaringkan satu lagi gol untuk menjadikan keseluruhan golnya musim ini kepada lapan.
"Ini sesuatu yang positif untuk perkembangan karier Fayadh. Pertama, dia tak pernah menamatkan musim lebih daripada lima gol sejak 2019 dan kini sudah memiliki lapan gol serta berpeluang menambah jaringan lagi.
"Kedua, dia lebih tenang dalam melakukan penyudah. Lagi kerap dia menjaringkan gol, lagi tinggi keyakinan dalam dirinya.
"Ketiga, Fayadh sudah menghasilkan 16 gol sejak bersama pasukannya," katanya.
Untuk rekod, pemain berusia 23 tahun itu kini menjadi pemain tempatan kedua menjaringkan gol terbanyak selepas Darren Lok iaitu sembilan gol (7 gol Liga Super, 2 gol Piala FA).
Fayadh Zulkilfi (dua dari kiri) bersama rakan sepasukannya. — Facebook/Kedah Darul Aman FC
Dua lagi penjaring tempatan dengan gol terbanyak ialah Faisal Halim (6 gol) dan Amri Yahyah (5 gol)
Menerusi kejayaan yang ditampilkan anak kelahiran Baling ini, KDA FC sepatutnya tidak perlu berfikir panjang untuk melanjutkan kontraknya.
Tak perlu jadi seperti musim lalu di mana KDA FC menunggu sehingga tamat kontrak baru mahu mengikat semula pemain itu.
Selain itu, Fayadh adalah anak jati Kedah dan KDA FC sepatutnya berbangga untuk memiliki dan menggunakan pemain muda itu.
Jangan sampai ada pasukan lain yang lebih berkemampuan merampas pemain muda ini dengan tawaran gaji yang lumayan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram