TINDAKAN telah dikenakan terhadap anggota polis yang mengiringi anak Ahli Parlimen di Pulau Pinang, baru-baru ini.
Perkara itu dimaklumkan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin dalam jawapan bertulis pada Selasa.
Hamzah berkata, polis Pulau Pinang telah membuka kertas siasatan tatatertib terhadap dua anggota polis trafik itu kerana mengiringi anak ahli parlimen itu di Jalan Bukit Gambir, Georgetown.
"Polis menjalankan siasatan menyeluruh berhubung kejadian itu selepas video berdurasi 20 saat tular di media sosial pada 7 Mei lalu.
"Tindakan telah diambil terhadap dua anggota polis trafik itu di bawah Peraturan 36 Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993," katanya.
Terdahulu, video tersebut tular di media sosial selepas dimuat naik seorang pengguna Facebook bernama anwarazeez yang menunjukkan seorang lelaki memandu kenderaan diiringi dua anggota polis trafik menaiki motosikal.
Anggota polis trafik itu turut memberhentikan trafik di persimpangan untuk membenarkan kenderaan itu melanggar lampu merah. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram