KETENANGAN dipamerkan gandingan beregu lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik disifatkan sebagai pendorong kejayaan menewaskan beregu India, Satwiksairaj Rankireddy-Chirag Shetty pada aksi final berpasukan campuran Sukan Komanwel Birmingham 2022.
Malah menurut Pengarah Kejurulatihan Beregu Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Rexy Mainaky, Aaron-Wooi Yik turut mempamerkan aksi konsisten bagi mencatatkan kemenangan 21-18 21-15 ke atas beregu nombor lapan dunia itu.
“Bagi saya, Aaron dan Wooi Yik telah beraksi dengan penuh ketenangan dengan memastikan setiap gerakan dapat dilakukan dengan kemas di sepanjang dua set perlawanan.
“Mereka juga tidak lagi tergopoh-gapah ketika beraksi dan aksi konsisten ini perlu diteruskan jika mereka mahu mencatatkan kemenangan pada acara beregu individu nanti,” katanya kepada Sukan Sinar pada Rabu.
Kemenangan Aaron-Wooi Yik membuka jalan buat rakan sepasukan lain untuk mencatatkan kemenangan pada perlawanan berikutnya bagi memastikan pingat emas menjadi milik skuad badminton negara kali ini.
Biarpun pemain perseorangan wanita negara, Goh Jin Wei tewas 20-22, 17-21 kepada Pusarla Sindhu, namun pemain perseorangan lelaki negara, Ng Tze Yong mencetus kebangkitan apabila mengejutkan bekas pemain nombor satu dunia, Kidambi Srikanth, 21-19, 6-21, 21-16.
Kebangkitan itu diteruskan gandingan beregu wanita negara, Pearly Tan-M Thinaah yang kemudiannya memastikan pingat emas menjadi milik skuad badminton negara apabila menewaskan Treesa Jolly-Gayatri Puella 21-18 21-17.
Mengulas mengenai aksi dipamerkan beregu wanita negara, Rexy berkata, ada beberapa perkara yang perlu diperbaiki oleh gandingan Pearly-Thinaah dalam usaha melakar lebih banyak kejayaan selepas ini.
“Mereka ini masih lagi kelihatan gugup ketika berdepan lawan sehingga mengganggu permainan mereka sendiri. Mereka juga masih belum cukup pantas dari segi pergerakan dan ia perlu segera diatasi,” katanya.
Rexy juga turut mengingatkan para pemain untuk terus mengekalkan fokus bagi mengharungi saingan acara individu selepas ini.
“Pemain juga perlu kekal merendah diri selain terus memberikan fokus pada perlawanan yang dilalui bagi mencapai tahap prestasi terbaik nanti,” katanya. — Sinar Harian
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram