Tahap kebersihan Lapangan Terbang Antarabangsa PP gagal capai standard


  • Primer
  • Khamis, 04 Ogos 2022

Yeoh berkata, lapangan terbang memainkan peranan penting dalam membentuk impresi pertama terhadap sesebuah destinasi. — Agensi

MESKIPUN kerajaan Pulau Pinang giat mempromosikan pelancongan tempatan, piawaian kebersihan di Lapangan Terbang Antarabangsa negeri itu perlu terus diperbaiki.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Ekonomi Kreatif Pulau Pinang, Yeoh Soon Hin menggesa pengurusan lapangan terbang untuk menjalankan pemeriksaan rutin ke atas infrastruktur dan pintu pintar bagi memastikan kemudahan asas lapangan terbang tesebut lebih mesra pengguna.

Beliau memaklumkan pihak pengurusan untuk mengambil tindakan segera terhadap piawaian kebersihannya yang lemah dan tidak sesuai bagi sebuah lapangan terbang antarabangsa.

“Kebersihan lapangan terbang itu pada masa ini adalah di bawah standard berikutan keadaan tong sampah yang melimpah akibat terlampau penuh, jambatan kotor, tandas tidak bersih dan banyak lagi.

"Ini tidak boleh diterima dan tidak mencukupi untuk sebuah lapangan terbang antarabangsa," katanya.

Yeoh menambah bahawa dia dimaklumkan oleh pihak berkuasa lapangan terbang bahawa mereka sedang dalam proses menukar kontraktor pembersihan.

"Penyelesaian jangka pendek mesti dilaksanakan dalam tempoh peralihan ini untuk menangani standard kebersihan yang semakin merosot," katanya.

1683653

keadaan tong sampah yang melimpah akibat terlampau penuh di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang.

Yeoh menekankan bahawa lapangan terbang memainkan peranan penting dalam membentuk impresi pertama terhadap sesebuah destinasi.

“Bayangkan menunggu untuk menaiki pesawat dalam persekitaran lapangan terbang yang tidak menyenangkan atau melihat sampah bertaburan di sekitar lapangan terbang semasa anda melangkah keluar dari kabin.

"Ditambah dengan kemudahan asas yang ketinggalan zaman yang akhirnya akan menyebabkan pelancong menganggap bandar itu kurang membangun," tegasnya.

Yeoh turut melahirkan rasa kecewa berdasarkan pengalaman peribadinya melihat tong sampah penuh dan kebersihan tandas, seperti yang turut dibangkitkan oleh netizen di seluruh platform media sosial.

“Pihak berkaitan boleh mengambil tindakan segera untuk memperbaiki pengurusan kebersihan lapangan terbang yang lemah, seperti membersihkan kawasan awam dan tandas serta memastikan pintu pintar berfungsi seperti biasa.

“Kerajaan Pulau Pinang giat mempromosikan inisiatif pelancongan untuk menarik pengunjung tempatan dan asing. Malah kami merangka pelbagai strategi pemasaran dengan pelbagai pihak berkepentingan pelancongan seperti syarikat penerbangan antarabangsa dan agensi pelancongan.

"Pengendalian kebersihan lapangan terbang yang lemah akan mencemarkan nama baik dan membantutkan segala usaha kerajaan negeri," tambahnya. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram