MESKIPUN kemudahan lintasan pejalan kaki sudah disediakan, namun masih ramai lagi yang ingkar untuk tidak menggunakannya ketika melintas.
Situasi ini boleh digambarkan menerusi rakaman video 'dashcam' netizen apabila seorang lelaki yang ingin melintas di bahu jalan, dirempuh oleh sebuah bas yang sedang menghala ke arah laluan jalan.
Tular di media sosial Facebook, video berkenaan menerima pelbagai reaksi dan komen daripada warga netizen yang rata-rata meletakkan kesalahan pada mangsa langgar.
Ridhwan Dali mendakwa kemalangan tersebut bukannya berpunca daripada pemandu bas, sebaliknya pemuda tersebut harus terlebih dahulu teliti dengan keselamatan jalan raya.
"Bukan salah bas, bas berhenti mengejut pun kena fikir penumpang juga, mana yang berdiri dan sedang duduk.
"Pejalan kaki mungkin ada menoleh ke kiri dan kanan, cuma dia tidak peka dengan jalan laluan sehala di jalan raya tersebut," katanya.
Seorang lagi pengguna Facebook turut berpendapat bahawa kemalangan tersebut berpunca daripada mangsa tersebut.
"Walaupun bas bergerak laju, namun itu sememangnya jalan sehala dan mangsa sendiri tidak menggunakan laluan lintasan pejalan kaki sebelum melintas," katanya.
Setakat ini masih belum ada sebarang maklumat rasmi berkenaan kemalangan terbabit dan difahamkan kejadian berlaku sekitar kawasan Ampang, Kuala Lumpur. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram