Kaut untung cecah setengah juta, wanita ini tipu satu kampung bermodalkan minyak masak murah


  • Benua
  • Khamis, 04 Ogos 2022

WANITA ditahan polis setelah menipu orang ramai dengan menjual minyak masak murah.

SERAMAI 12 penduduk Kebon Jeruk mulai keliru apabila wanita ini mendakwa dirinya sebagai usahawan minyak masak sejak Disember 2021 dan sering memungkir janji.

Isu ini berbangkit apabila penduduk sudah mendepositkan sejumlah wang untuk membeli minyak masak murah, tetapi barang yang dijanjikan tidak diterima.

Menurut laporan, kejadian bermula apabila seorang wanita menawarkan minyak masak murah kepada penduduk di Jalan Batusari, Kebon Jeruk, Jakarta Barat.

Beliau mendakwa dirinya sebagai usahawan minyak masak dengan permit lengkap dan mengaku mempunyai stok minyak masak yang banyak di gudangnya walhal pada penghujung tahun 2021, isu kekurangan minyak masak sedang berlaku di seluruh negara.

"Tertuduh memikat penduduk dengan menawarkan minyak masak dengan harga serendah RM5.97 seliter sedangkan ketika itu harga pasaran minyak masak sebungkus adalah RM7.46 seliter," kata Ketua Polis Daerah Kebon Jeruk Kompol Slamet Riyadi di Ibu Pejabat Polis Daerah Kebon Jeruk.

Orang ramai yang tertipu terus mendepositkan wang untuk mendapatkan minyak masak murah bagi keperluan harian ataupun untuk dijual semula.

Difahamkan, jumlah transaksi mencapai lebih RM500,000.

"Mangsa yang tertipu dilaporkan berpusu-pusu membeli minyak masak daripada wanita berkenaan dengan mendepositkan wang sehingga RM150," jelas Slamet. — Agensi

Minyak masak, Harga murah, Usahawan