TULAR di laman media sosial apabila pemain naturalisasi kebangsaan, Liridon Krasniqi memuat naik content di Instastorynya menunjukkan dia sedang berlatih di padang bola MADA di Alor Star, Kedah.
Perkongsian beliau seakan memberi bayangan bahawa pemain JDT yang kini berstatus pemain pinjaman itu akan kembali menyarung jersi Kedah Darul Aman (KDA) FC tidak lama lagi.
Perkongsian gambar di laman media sosial 'Instagram' Liridon Krasniqi menimbulkan spekulasi ramai.
Menurut laporan, beliau kini sedang bermain di sebuah kelab Liga Super India, Odisha secara pinjaman dari kelab asalnya Johor Darul Ta'zim (JDT).
Terkesan dengan hantaran tersebut, rata-rata penyokong KDA FC memuat naik komen yang negatif dan kurang berkenan sekiranya pemain itu kembali menyarung jersi Kedah satu hari nanti.
Perkara itu disuarakan oleh salah seorang pengikut KDA FC Fans di Facebook, Eby Shahrin Mokhtar yang nyata tidak berpuas hati dengan berita tersebut.
"Patut la tak maju, asyik kutip pemain lama je.. jenis kitar semula macam majlis bandaran."
Zikrijep Jep menambah: "Ini dua kali lima, suka main simpan bola, langgar orang dan kutip kad kuning setiap perlawanan."
Berdasarkan komen pengikut KDA FC, ternyata kehadiran pemain tersebut ke kelab lamanya itu tidak lagi diterima oleh rata-rata penyokong.
Berdasarkan rekod, Liridon Krasniqi adalah bekas pemain KDA FC pada tahun 2015 sehingga 2018 sebelum mewakili kelab Melaka United dan kemudiannya dibeli oleh Johor Darul Ta'zim pada tahun 2020. — Majoriti