Lelaki rakam paha wanita di Johor Bahru dicekup


  • 112
  • Sabtu, 30 Jul 2022

Hasil pemeriksaan ke atas telefon bimbit lelaki terbabit menemukan pelbagai lagi video rakaman sulit tidak senonoh melibatkan beberapa wanita lain.

TINDAKAN seorang lelaki merakam video bahagian bawah paha seorang wanita warga asing di sebuah pusat beli-belah mengundang padah, apabila dia dicekup dan diserahkan kepada polis.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, lelaki tempatan berusia 22 tahun itu dipercayai melakukan perbuatan tersebut di kaunter bayaran pasar raya pada pukul 10.14 malam, Jumaat (29 Julai).

"Wanita warga asing berusia 24 tahun itu telah diberitahu saksi awam bahawa lelaki terbabit merakam video secara sulit di bahagian bawah pahanya," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Menurutnya, lelaki terbabit kemudian ditahan pengawal keselamatan sebelum diserahkan kepada anggota ronda cegah jenayah Balai Polis Setia Indah, Johor Bahru, Johor untuk tindakan lanjut.

Raub berkata, hasil pemeriksaan ke atas telefon bimbit lelaki terbabit menemukan pelbagai lagi video rakaman sulit tidak senonoh melibatkan beberapa wanita lain.

Katanya, lelaki itu kini ditahan mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan dan Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram