'Sayang duit syiling pasukan tak dihargai,' penyokong imbas detik sumbang Tabung CAS KFA


  • Podium
  • Ahad, 31 Jul 2022

Antara aksi pemain KDA FC sewaktu menentang KL City FC Pada Rabu lalu. — Facebook KDA FC

SELEPAS tewas di tangan pasukan lawan pada beberapa aksi sebelum ini, penyokong Kedah Darul Aman (KDA) FC semakin muak dengan prestasi yang ditunjukkan skuad Hijau Kuning.

Pemain ke-12 pasukan itu berasa seperti tidak dihargai oleh pasukan berkenaan kerana segala pengorbanan termasuk masa, wang ringgit dan tenaga hanya dibalas dengan kekalahan.

Penyokong mana yang tidak terkilan apabila ada yang sanggup turun ke stadium lawan semata-mata untuk tunjukkan sokongan buat pasukan kesayangan tetapi dibayar dengan aksi longlai.

Sebelum ini, skuad Hijau Kuning tewas 1-2 di tangan Kuala Lumpur City (KL City) di gelanggang lawan dan keputusan negatif itu membawa kekecewaan kapada penyokongnya.

Kemarahan penyokong terhadap prestasi pasukan KDA FC itu membuatkan mereka terpaksa mengimbas kembali segala pengorbanan yang dilakukan termasuklah menyumbang kepada Tabung Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) Persatuan Bolasepak Kedah (KFA).

Penyokong skuad Hijau Kuning, Gulapasir Gulakapas meluah rasa kecewa terhadap pasukan itu sambil menceritakan usaha pemain ke-12 yang sanggup membuat Tabung CAS KFA.

KDA FC

Sebahagian penyokong yang memberi sumbangan kepada Tabung CAS KFA. — Sinar Harian

“Masalah utama penyokong Kedah. Bila dah tahu pasukan tak ada bajet besar...merekalah yang berhempas pulas menderma duit untuk pasukan mereka.

“Tetapi sayang “duit syiling” pasukan tak pandang pun...sepatutnya walaupun “duit syiling” pihak pengurusan mesti menghargai penat lelah penyokong bekerja di kebun.

“Apabila pasukan dah tak boleh nak tunjuk kan kemajuan dalam liga..mereka sangat kecewa..dan iri hati pada pasukan yang semakin maju...ini dah kira kena scam,” luahnya pada laman Semuanya Bola.

Untuk rekod, Tabung CAS KFA ialah usaha pihak pengurusan mengumpul sumbangan khasnya daripada penyokong skuad Lang Merah untuk membawa kes perpindahan Akhyar ke Johor Darul Takzim (JDT) ke peringkat CAS.

Hasil sumbangan penyokong setia skuad Hijau Kuning, kutipan Tabung CAS itu berjaya mengutip RM50,000.

Bagi mengubat luka penyokong, skuad di bawah pimpinan Aidil Sharin Sahak itu perlu mencatat kemenangan dengan mempamerkan aksi terbaik ketika berdepan Sri Pahang FC di Stadium Darul Makmur, Kuantan, Pahang pada Isnin nanti. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram