Bekalan elektrik terputus, lampu isyarat di ibu negara alami gangguan


  • Primer
  • Rabu, 27 Jul 2022

Lampu jalan raya rosak ekoran bekalan elektrik terputus di Kuala Lumpur.

PENGGUNA jalan raya di ibu negara diingatkan untuk berhati-hati berikutan lampu isyarat di sekitar ibu negara alami gangguan akibat bekalan elektrik terputus.

Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dalam kenyataan di Facebook rasminya berkata, pengguna jalan raya diminta berhati-hati bagi mengelakkan sebarang kejadian yang tidak dingini berlaku.

"Bekalan elektrik di beberapa kawasan di Lembah Klang dilapor terputus termasuk Kuala Lumpur.

"Insiden ini menyebabkan lampu isyarat di sekitar Kuala Lumpur tidak berfungsi dan mengalami gangguan," katanya pada Rabu.

Tambahnya, petugas Warden Trafik DBKL telah diarahkan untuk mengawal dan mengawasi trafik di jalan-jalan utama.

Pada Rabu, beberapa negeri di Semenanjung melibatkan kawasan tertentu turut dilaporkan mengalami gangguan bekalan elektrik pada Rabu,

Selain Lembah Klang, gangguan turut berlaku di Pulau Pinang, Perak, Kedah, dan Pahang.

Sementara itu Tenaga Nasional Berhad (TNB) Careline dalam kenyataan ringkas di Facebook memaklumkan, pasukan teknikal sedang mengenal pasti punca kejadian dan usaha sedang giat dijalankan untuk memulihkan bekalan.

"Kami mohon maaf di atas segala kesulitan dialami oleh pengguna semasa gangguan bekalan ini," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram