BERITA kecederaan lutut yang dialami oleh pemain tengah skuad kebangsaan, Syamer Kutty Abba yang kini mendapatkan rawatan di Barcelona, Sepanyol, pasti meresahkan ketua jurulatih Kim Pan-gon.
Ekoran kecederaan itu, Syamer dilaporkan mungkin tidak dapat beraksi bersama Harimau Malaya dalam Piala AFF 2022, yang dijangka pada Disember ini sekiranya kecederaan yang dialami serius.
Pemain berusia 24 tahun yang juga tonggak bek tengah skuad Johor Darul Takzim (JDT) dijangka terlepas aksi kalah mati Liga Juara-Juara Asia (ACL) ketika pasukan itu menentang kelab Jepun, Urawa Red Diamonds yang dijadual pada 17 Ogos ini.
Rata-rata penyokong bola sepak tempatan merasakan skuad JDT tidak begitu terkesan atas kehilangan Syamer kerana Harimau Selatan memiliki barisan pemain tengah berkualiti antaranya Natxo Insa, Nazmi Faiz, Safiq Rahim dan Danial Amier.
Selain itu, import JDT, Leandro Velazquez dan Liridon Krasniqi serta Levy Madinda daripada JDT II yang bertindak sebagai pertahanan menyerang, boleh diturunkan sebagai calon pengganti Syamer.
Situasi itu berbeza dengan skuad kebangsaan memandangkan Syamer antara pemain yang sering mendapat kepercayaan Pan-gon dalam kesebelasan utama Harimau Malaya.
Ini dibuktikan dengan minit permainan yang dicatatkan Syamer dalam aksi saingan Kumpulan E Piala Asia 2023. Syamer bermain 90 minit semasa skuad kebangsaan menentang Turkmenistan dan Bahrain selain mengumpul 81 minit ketika membantu Harimau Malaya membenam Bangladesh untuk layak ke Piala Asia 2023 secara merit.
Berikut merupakan lima calon pemain yang dirasakan boleh mengisi kekosongan di bahagian tengah Harimau Malaya.
Aksi Brendan Gan (kanan) ketika menentang Sabah baru-baru ini. — Facebook
1) Brendan Gan
Terlepas panggilan kebangsaan berikutan penyakit kanser testis yang dialami, Brendan Gan antara calon yang disebut-sebut penyokong bola sepak tempatan untuk menggantikan Syamer.
Jika Syamer lebih ofensif untuk membantu aliran bola dari bahagian tengah kepada penyerang, Brendan pula boleh bermain dalam dua transisi yang berbeza yang mana dia boleh aktif menyerang dan mampu bertahan.
Malah pemain berdarah campuran Malaysia-Australia itu yang kini bermain dengan Selangor FC pernah menyatakan hasrat untuk merebut semula tempat dalam pasukan Harimau Malaya di bawah kendalian Pan-gon.
Afiq mempunyai kualiti sebagai ball winner yang hampir sama seperti Syamer. — Facebook
2) Afiq Fazail
Pemain tengah JDT ini antara yang disebut-sebut calon terbaik boleh menggantikan Syamer. Dia sebelum ini digugurkan daripada senarai akhir skuad Harimau Malaysia.
Seperti Syamer, Afiq juga disifatkan sebagai ball winner yang mahir merampas bola di kaki lawan supaya bahagian tengah pasukan sentiasa menguasai bola. Dengan ketiadaan Syamer, Pan-gon mungkin boleh mempertimbangkan untuk memanggil semula pemain berusia 27 tahun itu.
Akram (baju merah) boleh menggantikan Syamer bagi mengawal bahagian tengah pasukan Harimau Malaya. — Facebook
3) Akram Mahinan
Akram yang kini bermain dengan KL City FC mampu berganding baik dengan kebanyakan pemain tengah lain seperti Brendan dan Syamer sendiri.
Dia yang berpengalaman beraksi dengan skuad kebangsaan di bawah kendalian Tan Cheng Hoe sebelum ini dirasakan calon yang layak menggantikan Syamer bagi mengawal bahagian tengah pasukan.
Bahkan ketika bersama Harimau Malaya pada Piala AFF Suzuki 2018, Akram diberi kepercayaan bergandingan dengan Syamer semasa menentang Myanmar dan Thailand.
Gary (kanan) dirasakan bijak merampas bola, mengatur serangan dan mengawal permainan dengan cantik. — Facebook
4) Gary Steven Robbart
Nama pemain Sabah FC ini turut disebut-sebut boleh menggantikan Syamer berikutan prestasinya bersama The Rhinos sangat memberangsangkan. Dia dirasakan bijak merampas bola, mengatur serangan dan mengawal permainan dengan cantik.
Gary juga tenang mengawal bola dan mampu melakukan hantaran jauh yang tepat untuk memudahkan lorongan bola ke kawasan gol.
Kemasukan Barathkumar di bahagian tengah mencipta dimensi baharu kepada PJ City. — Facebook
5) Barathkumar Ramaloo
Mengemudi bahagian tengah PJ City, Barathkumar antara pemain yang dirasakan penyokong boleh mencipta kejutan dalam skuad Harimau Malaya jika diberi kepercayaan oleh Pan-gon.
Pemain berusia 30 tahun yang pernah tercalon sebagai pemain terbaik bulanan Liga Super edisi Februari musim 2019 itu menjadi jentera kepada pasukan The Phoenix.
Kemasukan Barathkumar di bahagian tengah mencipta dimensi baharu kepada PJ City sekali gus memberi impak dalam permainan dan perkara sama mungkin boleh dirasai dalam Harimau Malaya jika peluang itu diberikan kepadanya.
Kesimpulannya, skuad bola sepak negara sebenarnya wajib mencari pemain yang boleh menjadi pilihan kedua selepas Syamer sebelum Piala Asia bermula tahun depan.
Pan-gon perlu mencari pengganti Syamer walaupun sukar nak mendapatkan saiz fizikal yang sama, sekurang-kurangnya perlu dapat pemain yang mempunyai usaha sama seperti pemain itu.
Dalam hal ini, Pan-gon perlu menilai semula pemain pertahanan sedia ada dan calon yang disenaraikan agar tempat Syamer dapat diganti segera. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram