PERLAWANAN Liga Premier antara pasukan Selangor II menentang Perak FC di Stadium UiTM, Shah Alam pada Selasa diwarnai adegan drama di atas padang.
Kali ini, pemain Selangor II, Iqmal Ramlan didapati bertindak menumbuk pemain Perak, Luciano Guaycochea yang akhirnya mengundang layangan kad merah kepadanya.
Insiden pada minit ke-92 itu berlaku susulan kejayaan The Bos Gaurus membuat skuad Merah Kuning 'koyak' dengan melakukan 50 hantaran tanpa berjaya dirampas pemain lawan.
Hasilnya, skuad kendalian Yusri Che Lah mampu memdabik dada dengan kemenangan 1-0 ke atas Selangor II hasil jaringan penyerang mereka, Ferris Danial Mat Nasir pada minit ke-76.
Biarpun kad merah yang dilayangkan merugikan pasukan Selangor II, fokus rata-rata penyokong lebih menjurus kepada kredibiliti pemain-pemain import terlibat.
Penyokong tempatan nampaknya tidak lagi bersabar dengan penyerang import dari Croatia, Stipe Plazibat yang dikatakan masih lagi belum menjumpai sentuhan jaringannya.
Bekas pemain kelab Lion City Sailors FC yang merupakan penjaring terbanyak Liga Singapura bagi musim 2020 itu nampaknya sudah hilang taring dan tidak serasi dengan pasukan Perak FC.
Pemain Selangor II, Iqmal Ramlan diberikan kad merah setelah didapati bertindak menumbuk pemain Perak, Luciano. — Agensi
Bagaimanapun, dua lagi pemain import Ther Bos Gaurus, Luciano dari Argentina dan Sunday Kolawole Afolabi dari Nigeria mendapat 'restu' daripada penyokong.
Penyokong Perak FC, Ja'far Sidek Budin menerusi akaun Facebooknya berpendapat Plazibat tidak memiliki kemahiran seperti yang diwar-warkan sebelum ini.
"Luciano dan Sunday boleh dikekalkan musim depan. Plazibat wajib digugurkan. Dari pemerhatian saya dalam empat perlawanan, Plazibat hanya membuat dua atau tiga percubaan.
"Beliau juga tiada kemahiran mengelecek, kurang kemahiran mengawal bola dan tidak berani membuat percubaan," katanya.
Namun, seorang lagi penyokong, Harith Barlow, berpendapat Plazibat masih lagi belum menemui peluang untuk menunjukkan potensi sebenarnya.
"Dalam empat perlawanan itu, berapa kali sahaja dia main penuh? Berapa banyak peluang yang dia dapat? Dengan kebanyakan pasukan lawan hanya bermain di bahagian pertahanan.
"Sekurang-kurangnya, dia tidak sia-siakan peluang macam Indra Putra dan Firdaus Saiyadi. Firdaus ada dua peluang tapi tidak dapat juga bagi jaringan,"jelasnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram