TIGA buah premis makanan di daerah Barat Daya, dekat Georgetown, Pulau Pinang diarahkan tutup selepas didapati tidak menepati piawaian kebersihan yang ditetapkan, selepas pemeriksaan dijalankan oleh pasukan penguat kuasa Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP).
Dalam operasi secara mengejut yang dijalankan pada Selasa itu, sebanyak empat premis diperiksa, namun hanya satu premis tidak mengabaikan aspek kebersihan asas.
Datuk Bandar Pulau Pinang, Datuk Yew Tung Seang berkata, daripada tiga premis tersebut, dua diarahkan tutup kerana kewujudan najis tikus, manakala satu kerana memperolehi markah penggredan bawah 50 peratus.
"Dalam operasi itu, tiga premis diarahkan tutup selama 14 hari untuk melaksanakan kerja-kerja pembersihan menyeluruh. Ini kerana, ketika operasi dijalankan, kita menemui najis tikus selain ada pemilik premis meletak makanan mentah kurang daripada 20 sentimeter (cm) dari paras lantai.
"Selain itu, antara kesalahan yang kita dapati adalah pengendali premis telah mengalirkan sisa basuhan kotor atau minyak ke dalam parit awam, perangkap 'grease' tidak selenggara dengan baik dan beberapa kesalahan lain yang memberikan impresi buruk serra kesan negatif terhadap pengendalian masakan," katanya ketika dihubungi pada Rabu.
Bahan mentah dan peralatan yang kotor ditemui ketika operasi dijalankan oleh pasukan penguat kuasa MBPP. — Facebook/MBPP
Tambahnya, lapan kompaun dikeluarkan dalam operasi berkenan iaitu dua kerana kesalahan mengendalikan premis makanan tanpa lesen dan satu kerana meletak makanan mentah kurang daripada 20 cm dari paras lantai.
"Pihak penguat kuasa juga mengeluarkan tiga kompaun untuk kesalahan tidak menjalani pemeriksaan doktor dan satu masing-masing untuk kesalahan mengalirkan sisa basuhan kotor atau minyak ke dalam parit awam (grease trap tidak diselenggara dengan baik) dan tidak mempamerkan lesen pada tempat yang mudah dilihat di premis.
"MBPP akan sentiasa menjalankan operasi pemeriksaan secara rutin selepas pembukaan sektor ekonomi bagi memastikan keselamatan makanan di premis makanan terjaga," katanya.
Tung Seang menambah, semua pengusaha premis makanan dinasihatkan supaya tidak berkompromi dengan aspek kebersihan dan sentiasa menyelenggara premis dengan sempurna agar kualiti penyediaan makanan terjamin. — Sinar Harian
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram