Paul Yong didapati bersalah rogol pembantu rumah 3 tahun lalu


Paul Yong ketika tiba di Mahkamah Tinggi Ipoh pada Rabu.

MAHKAMAH Tinggi Ipoh, Perak memutuskan bekas exco kerajaan negeri, Paul Yong sebagai bersalah merogol seorang pembantu rumah warga Indonesia tiga tahun lalu.

Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Abdul Wahab Mohamed membuat keputusan itu selepas berpuas hati pihak pembelaan gagal membuktikan kes melampaui keraguan munasabah.

Pertuduhan terhadap beliau dilakukan mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan yang memperuntukan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tronoh itu pada Ogos 2019 mohon dibicarakan di Mahkamah Sesyen Ipoh, atas pertuduhan merogol pembantu rumahnya yang ketika itu berusia 23 tahun.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa merogol mangsa di sebuah bilik di tingkat atas rumahnya di Meru Desa Park, dekat Ipoh antara pukul 8.15 malam hingga 9.15 malam pada 7 Julai 2019.

Pada 2020, Mahkamah Persekutuan telah membenarkan rayuan Yong untuk memindahkan kes itu daripada Mahkamah Sesyen ke Mahkamah Tinggi, manakala tertuduh diperintahkan membela diri pada 7 Disember tahun lepas.

Yong adalah bekas exco kerajaan negeri ketika Pakatan Harapan (PH) menerajui Perak.

Beliau memutuskan untuk keluar dari DAP selepas Perikatan Nasional (PN) membentuk kerajaan Perak pada Mac 2020.

Beliau kemudian menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pada Disember 2020, sebelum keluar dari parti itu dan menyertai Parti Bangsa Malaysia (PBM) awal tahun ini. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram