'Siapa baling barang?' Usaha tangkap buaya baham penduduk gagal


  • Tular
  • Khamis, 21 Jul 2022

Tangkap layar menunjukkan usaha penduduk kampung menangkap sang bedal gagal apabila salah seorang daripada membaling objek pada buaya itu.

USAHA menangkap sang bedal yang disyaki membaham seorang pemuda di Kampung Seberang, Maludam, Sarawak hampir berjaya sebelum buaya tersebut lari.

Kejadian yang dipercayai berlaku pada petang semalam itu dirakam oleh Dayang Misiah dan dikongsikan di halaman Facebook Sarawak Edition.

Rakaman video berdurasi 27 saat itu menunjukkan penduduk kampung telah memasang perangkap jaring untuk menangkap reptilia berkenaan.

Kelihatan buaya tersebut berenang menuju ke arah perangkap jaring yang telah dipasang oleh penduduk sebelum itu.

Namun begitu, usaha untuk menangkap buaya berkenaan gagal apabila salah seorang penduduk membaling sesuatu ke arah buaya itu.

"Jangan baling barang ke arah buaya, bagi buaya masuk perangkap dulu.

"Siapa baling barang? Sapa baling barang dari atas jambatan?," jerit individu tersebut.

Sebelum itu, seorang pemuda dilaporkan hilang ketika menangkap ikan di hulu sungai berkenaan.

Rata-rata warganet turut kecewa dengan tindakan individu tersebut membaling objek ke arah buaya berkenaan.

"kenapa kau baling objek, kalau tidak mesti dah masuk dalam perangkap," kata Chaz Andrew Charles.

"Kalau ikut keadaan sungai yang kecil dan air cetek, peluang untuk menangkap buaya tersebut memang cerah sebab perangkap telah dipasang.

"Memang ada peluang nak dapat tapi yang peliknya bila buaya dah menghampiri jaring, ada lagi yang baling kayu.

"Seolah-olah tidak bersungguh-sungguh nak tangkap," kata Barawi Arie.

Memetik laporan Sarawak Voice, mayat mangsa Abang Mohd Norazat Abang Salim, 27, telah ditemui pada awal pagi tadi.

WhatsApp Image 2022-07-21 at 15.54.56

Mayat mangsa yang ditemui padal awal pagi Khamis dalam keadaan tidak sempurna terdapat kesan gigitan buaya. — Facebook

Ketua Bomba dan Penyelamat Zon Tiga Sri Aman Ramlan Marajan dalam satu kenyataan berkata, mangsa keluar berjalan kaki untuk menangkap ikan pada waktu pagi dan dilaporkan hilang pada petang Rabu.

"Operasi mencari dan menyelamat (SAR) yang digerakkan semalam juga telah menjumpai kasut dan joran dipercayai milik mangsa," katanya.

Mayat mangsa telah ditemui oleh bapa mangsa dan penduduk kampung pada awal pagi Rabu.

“Mayat Abang Mohd Norazat Abang Salim ditemukan terapung di hulu sungai berdekatan Loji Rawatan Air Maludam, lebih kurang 2.1 kilometer dari Pusat Kawalan Bomba (PKB) ditemukan kira-kira 2 pagi tadi.

“Ketika dijumpai keadaan mangsa tidak sempurna dan terdapat kesan gigitan buaya pada muka.

“Kedua-dua kaki serta tangan mangsa juga tiada,” katanya ketika dihubungi pagi ini.

Jelasnya, mayat seterusnya dibawa ke PKB menggunakan bot sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram