Ngeri, warga emas diseret 'King' sebelum badan tersepit celah tayar


  • Tular
  • Selasa, 19 Jul 2022

Tangkap layar rakaman video tular sepasukan bomba cuba mengeluarkan mangsa yang terperosok di celah tayar Myvi

SEORANG warga emas dipercayai meninggal dunia selepas terperosok di celah tayar belakang sebuah Perodua Myvi.

Satu rakaman video tular di aplikasi Telegram Info-info, Kemalangan Bencana, Jenayah Pahang dan Luar Pahang itu menunjukkan kaki mangsa terkulai di sebelah sisi kereta selepas badannya tersepit di tayar belakang kenderaan itu.

Menurut maklumat yang dikongsi orang awam, kemalangan ngeri tersebut disyaki berlaku di Jalan Jakas, Jementah, Segamat, Johor pada Selasa.

"Mangsa seorang warga emas tersangkut di bahagian tayar belakang sebuah kereta. Mangsa maut di lokasi," katanya.

Turut tular satu lagi rakaman video yang menunjukkan sepasukan bomba cuba mengeluarkan mangsa yang tersepit itu.

Kemalangan itu turut menimbulkan persoalan orang ramai yang hairan bagaimana mangsa boleh terperosok di celah tayar.

"Macam mana boleh jadi macam itu?

"Macam mana boleh tersangkut? kata si perakam video tersebut.

Ketua Polis Daerah Segamat, Superintendan Bahrin Mohd. Noh berkata, siasatan awal mendapati, Perodua Myvi yang dipandu seorang pemuda berusia 30-an dalam perjalanan dari arah Jementah menghala Segamat.

"Pada waktu kejadian motosikal yang ditunggang mangsa secara tiba-tiba keluar dari bahu jalan dan memasuki laluan kenderaan tersebut.

"Disebabkan jarak yang yang terlalu dekat, mangsa yang juga warga emas gagal mengawal motosikalnya dan telah melanggar bahagian tepi belakang sebelah kiri kenderaan tersebut.

"Akibat daripada perlanggaran itu, mangsa terjatuh di atas jalan raya dan diseret ke bahu jalan," katanya dalam satu kenyataan media.

Bahrin berkata, mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian selepas diperiksa pasukan perubatan dari Klinik Kesihatan Jementah.

Polis Daerah Segamat turut menggesa orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kemalangan tersebut diminta tampil membuat laporan di mana-mana balai atau Balai Trafik Segamat. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram