KUDIS api ataupun dikenali sebagai impetigo dalam bahasa perubatan merupakan penyakit kulit yang selalu menjangkiti kanak-kanak dalam keadaan cuaca panas dan lembap.
Pakar Penyakit Berjangkit, Hospital Ampang Puteri, Dr Yazli Yuhana berkata, impetigo adalah sejenis penyakit berjangkit yang amat mudah berjangkit yang berpunca daripada bakteria.
"Terdapat dua spesies bakteria yang merupakan asbab kepada impetigo iaitu bakteria daripada jenis Streptococcus dan Staphylococcusm. Jangkitan impetigo ini amat kerap terjadi dalam keadaan cuaca panas dan lembap seperti Malaysia berbanding negara beriklim sejuk.
"Ramai ibu bapa selalu terkeliru impetigo dengan penyakit tangan kaki dan mulut (HFMD) kerana jangkitan kulit impetigo juga melibatkan permukaan muka, hujung tangan dan kaki tetapi impetigo tidak melibatkan pecahan dalam mulut seperti HFMD.
Berbeza dengan kudis api, HFMD disebabkan oleh virus dan tiada rawatan khusus untuk HFMD.
"Impetigo disebabkan oleh bakteria, manakala HFMD disebabkan oleh virus daripada kumpulan Enterovirus.
"Impetigo mampu dirawat dengan antibiotik sedia ada namun tiada rawatan khusus untuk HFMD disebabkan tiada antivirus khas untuk virus Enterovirus ini," katanya pada Majoriti.
Menerangkan secara lanjut, Yazli berkata impetigo akan dijangkiti sekiranya cecair yang pecah dari kulit pesakit didedahkan kepada orang yang belum dijangkiti.
"Apabila impetigo menyerang, kulit pesakit akan menjadi merah serta menggelembung sebelum pecah dan mengeras kekuningan," katanya.
Menurut Dr Yazli , impetigo akan dijangkiti sekiranya cecair yang pecah dari kulit pesakit didedahkan kepada orang yang belum dijangkiti. — Majoriti
Jelas beliau lagi, walaupun impetigo sukar untuk menyebabkan komplikasi kepada organ lain tetapi segelintir pesakit boleh mendapat komplikasi yang lebih berbahaya seperti jangkitan kulit yang lebih dalam sehingga menyebabkan lapisan dalam kulit terdedah.
"Komplikasi ini mampu menyebabkan jangkitan bakteria menjadi lebih melarat dan masuk ke dalam saluran darah. Sekiranya ini berlaku rawatan khusus dengan penggunaan antibiotik memang diperlukan.
"Impetigo selalunya terjadi pada kanak-kanak berusia 2 hingga 5 tahun, namun kanak-kanak yang lebih berusia mahupun golongan dewasa juga boleh dijangkiti impetigo.
Mengamalkan kebersihan tangan untuk mengelakkan jangkitan impetigo di kalangan kanak-kanak.
Sekiranya terkena jangkitan, Yazli menyarankan pesakit tersebut mengasingkan diri untuk mengelakkan jangkitan pada orang lain.
"Kebersihan diri merupakan asas utama bagi mengelakkan bakteria daripada jenis Streptococcus dan Staphylococcus ini untuk menjangkiti kulit. Elakkan juga dari berada di tempat yang sesak, kerana pergeseran kulit akan terjadi dengan lebih mudah," jelasnya
Ibu bapa perlu memainkan peranan utama untuk mengenal pasti impetigo dan mengamalkan kebersihan tangan untuk mengelakkan anak mereka membawa bakteria," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram