SEPERTI yang kita ketahui, pembayaran melalui pemindahan dalam talian, pembayaran kad dan QR Pay telah diamalkan sejak pandemik Covid-19 melanda untuk meminimumkan sentuhan fizikal.
Namun masih ada tempat tertentu yang tidak mengamalkan pembayaran digital tersebut.
Menerusi perkongsian seorang pengguna Facebook menggunakan nama Amin Landak melahirkan rasa kecewa apabila Pusat Sains Negara (PSN) yang sudah bertapak lama di negara ini masih menggunakan sistem pembayaran secara tradisional.
Kejadian itu terjadi ketika Amin membawa anaknya berkunjung ke PSN pada Sabtu lalu.
"Tidak masuk akal langsung, nama Pusat Sains Negara tapi nak beli tiket kena guna tunai saja.
"Orang meniaga pasar malam pun dah guna pembayaran secara QRPAY," katanya.
Lebih menjengkelkan Amin lagi, PSN tidak mempunyai mesin teler automatik (ATM) yang secukupnya.
Ketika ditanya mengenai mesin ATM, kakitangan berkata pengunjung perlu mencari satu di kawasan lain.
"Paling b*** ATM pun tak ada kat sana," katanya.
Mujurlah seorang lelaki dari kedai cenderamata, Reyza telah membantu Amin dengan memberikan wang tunai kepadanya.
"Nasib baik ada abang kaunter kedai cenderahati nama Reyza, Aku pindahkan wang secara dalam talian pada dia dan dia bagi tunai.
"Kalau tidak, memang aku isytihar perang dengan bidang sains ni. Suruh Melur fokus ke bidang seni saja.
Walaupun begitu, Amin mengakui PSN merupakan satu tempat yang berbaloi untuk untuk dikunjungi.
"Nak tak nak kena akui juga pergi PSN ini memang seronok untuk budak-budak. Banyak aktiviti untuk budak-budak belajar," tulis Amin lagi.
Belum ada sebarang kenyataan rasmi dikeluarkan PSN berhubung perkara itu. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram