Getir bertemu JDT, contohi Sabah FC hargai pemain ke-12


  • Podium
  • Jumaat, 15 Jul 2022

Baddrol turut meluangkan masa menyapa dan memberikan air minuman kepada penyokong. — Facebook SSC

MENJELANG perlawanan 'top of table clash' antara Sabah FC menentang skuad Harimau Selatan kelihatan ramai penonton berpusu-pusu membanjiri Stadium Likas, Kota Kinabalu bagi mendapatkan tiket secara fizikal.

Memetik ciapan dari Tora Bola, semangat penyokong skuad The Rhinos dapat ditunjukkan apabila ribuan penyokong mula beratur sejak pukul 4.00 pagi Khamis di perkarangan Stadium Likas.

Difahamkan 3,000 tiket fizikal berjaya dijual tempoh satu jam sahaja manakala lebih 30,000 tiket terjual secara atas talian pada Sabtu lepas.

Suasana menarik pada sewaktu penyokong beratur bagi mendapatkan tiket fizikal adalah kelibat beberapa pemain Sabah FC yang turun memberikan air minuman kepada mereka meskipun sibuk dengan latihan.

Antara yang hadir menyapa dan memberi air minuman kepada penyokong adalah kapten Baddrol Bakhtiar, Park Tae-su, Khairul Fahmi Che Mat dan beberapa pemain lain.

Tindakan barisan bintang Sabah FC itu amat disenang peminat khususnya penyokong The Rhinos kerana mereka menyifatkan pemain Sang Badak sangat menghargai jasa dan semangat pemain ke-12.

park

Park Tae-su memberi minuman kepada penyokong Sabah FC di Stadium Likas. — Facebook SSC

"Saya suka semangat pemain turun stadium memberi air minum kepada penyokong Sabah yang berkorban masa untuk barbaris panjang membeli tiket di kaunter.

"Sabah FC mantap...kita kalah pun kami penyokong tidak kisah...kamu pemain sudah tunjukkan semangat juang kamu pada hari ini mantap," kata Tugung Tombial.

"Terbaiklah..para pemain-pemain serta penyokong-penyokong Sabah FC bersatu menyokong antara sesama," Henry Lucas Lundan.

Rata-rata penyokong menghargai kehadiran barisan pemain Sabah FC dan ada juga yang berharap agar pasukan lain menjadikan mereka sebagai contoh agar lebih menghargai pemain ke-12.

Sementara itu, dijangkakan lebih 30,000 penyokong Sabah membanjiri Stadium Likas pada Jumaat bagi menyaksikan pertembungan antara kedua pasukan sekali gus mengetahui skuad manakah yang bakal mendahului Liga Super 2022.

Perlawanan yang dijadual bermula pukul 8.15 malam itu bakal menjadi penentu sama ada Sabah FC mampu menewaskan Johor Darul Takzim (JDT) bagi menamatkan rekod tanpa kalah Harimau Selatan pada musim ini. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram