
HUJAN lebat selama 45 minit sahaja sudah cukup untuk menyebabkan Jalan Udang Galah, Pelabuhan Klang, Selangor, dinaiki air.
Pekerja di kilang di sepanjang Jalan Udang Galah berkata, longkang tersumbat juga mengakibatkan air hujan bertakung hingga merosakkan jalan raya.
Penduduk Kampung Hamid Tuah, Azmi Mohd Razamit, 36, berkata, jalan yang berlubang itu akan dipenuhi air selepas hujan lebat.
"Penunggang motosikal sering tergelincir disebabkan jalan yang rosak dan ada yang terjatuh kerana terlanggar jalan berlubang.
"Akhirnya, ramai yang cedera hingga patah tulang disebabkan kemalangan kerana jalan raya yang rosak," katanya.
Tambah Azmi, keadaan jalan itu menyukarkan penduduk dan pemandu yang menggunakan jalan itu untuk ke tempat kerja mereka.
Jurukimpal Mazlan Mohammad Meera, 38, yang tinggal di kawasan itu berkata, aduan yang dibuat kepada Majlis Perbandaran Klang (MPK) pada 2016 mengenai keperluan untuk melebarkan longkang di sepanjang Jalan Udang Galah, namun tidak diendahkan.
Seorang lagi penduduk, Rizal Mohd, 40, berkata MPK mesti menukar semua longkang kepada binaan konkrit sebagai langkah untuk aliran air yang lebih baik.
"Baru-baru ini, kami mengalami banjir kilat dengan air sehingga hampir paras lutut.
"Kotoran dan sampah yang dikeluarkan dari longkang selalunya terbiar di atas rumput dan kembali ke dalam longkang selepas hujan lebat," katanya.
Shawn Ooi, 31, berkata MPK mesti melaksanakan pelan tebatan banjir holistik untuk Telok Gong bagi menangani banjir kilat dan keadaan jalan yang teruk.
"Jalan raya perlu diselenggara semula supaya mampu bertahan lebih lama.
"Longkang juga perlu dilebarkan," katanya.
Beliau menambah bahawa kekurangan lampu jalan di sepanjang Jalan Udang Galah juga mengundang bahaya kepada pengguna jalan raya. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram