TERENGGANU FC (TFC) mempamerkan disiplin tinggi meskipun terpaksa beraksi dengan 10 pemain pada babak kedua untuk mencatatkan kemenangan 1-0 keatas Kedah pada aksi pusingan kedua Piala FA 2022 yang berlangsung di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Terengganu pada Rabu.
Kemenangan bermakna tersebut sekali gus berjaya membawa Terengganu ke peringkat suku akhir bagi menempah pertemuan menentang wakil tunggal Liga Premier, Kuching City FC.
Manakala, Kedah Darul Aman (KDA) pula gagal mengulangi impak kejayaan seperti di Bali, Indonesia apabila mereka merekodkan kekalahan pertama untuk Terengganu dalam aksi pusingan kedua Piala FA 2022.
Dalam perlawanan tersebut, jelas KDA tampil dengan serba serbi tidak menyakinkan sehingga lawan berjaya menguasai permainan untuk satu jangka masa yang agak lama.
Kpah Sherman gagal menjaringkan gol menentang Kedah pada perlawanan pada Rabu. — Facebook
Penyerang Terengganu FC, Kpah Sherman menganggap dia berjaya memberikan segalanya di atas padang meskipun gagal menterjemahkan gol dan tetap berpuas hati dengan kemenangan pasukan untuk layak ke suku akhir Piala FA.
"Semestinya saya berpuas hati dengan prestasi saya walaupun ada beberapa peluang untuk menjaringkan gol, tetapi ini bola sepak, saya gembira membantu rakan sepasukan yang lain walaupun hanya 10 orang yang bermain.
"Pada pendapat saya satu jaringan gol juga sudah mencukupi dengan 53 minit anda bermain dengan hanya 10 orang, walaupun pemain berada dalam keadaan yang penat tetapi apa yang penting untuk pasukan adalah kemenangan," katanya selepas perlawanan.
Dechi Marcel menyeru rakan sepasukan fokus untuk perlawanan seterusnya. — Facebook
Manakala, pemain tengah Kedah Darul Aman FC, Dechi Marcel N'Guessan mahu segera melupakan kekalahan pada Rabu dan terus fokus aksi di pentas liga pula.
"Saya rasa malam ini kami tidak bermain dengan cara permainan kami sendiri, ini kerana kami bertemu pasukan yang hebat seperti Terengganu. Mereka bermain dengan permainan mereka tersendiri, menyimpan bola dan ini menjadikan situasi yang sukar buat pasukan kami.
"Pada minit-minit akhir permainan kami terpaksa all out sebab sudah bolos tetapi mungkin kami tiada luck dan kita harus melupakan dan fokus pada perlawanan seterusnya," ujarnya.
Pasukan Terengganu selepas ini sekali lagi dijadualkan akan bertemu skuad Hijau Kuning di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Terengganu dalam aksi Liga Super pada Jumaat (15 Julai). — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram