Imej setia pemimpin faktor anak muda Bersatu lompat ke Umno


  • Politik
  • Jumaat, 08 Jul 2022

Mohamad Hasan (tengah) pernah menyandang sebagai Menteri Besar Negeri Sembilan sejak Mac 2004 sehingga Mei 2018.  — Sinar Harian

KEKUATAN dan imej setia pucuk pimpinan parti Umno menjadi alasan kuat untuk 50 ahli Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Bahagian Temerloh umum keluar parti.

Penganalisis politik, Dr Noor Nirwandy Mat Noordin menegaskan isu lompat parti dalam kalangan anak muda di Temerloh itu disebabkan imej kesetiaan ataupun semangat kepartian yang ditunjukkan pemimpin tertinggi Umno.

"Perpindahan anak muda itu bukan kerana tidak percaya pucuk pimpinan tapi parti itu tidak ada golongan yang ada semangat kepartian macam parti gergasi seperti Umno.

"Mereka berhijrah kerana melihat imej parti itu. Kekuatan parti itu dilihat semakin berkurangan berbanding dengan apa yang ada di parti gergasi.

"Penghijrahan selalu berlaku kepada parti kecil. Perpindahan keluar dalam parti politik gergasi seperti Umno,PKR dan DAP amat jarang terjadi," katanya kepada Majoriti.

Imej kesetiaan yang dikatakan oleh Noor Nirwandy boleh dilihat dalam beberapa pemimpin tetinggi Umno sendiri seperti Presiden, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan Timbalan Presiden, Datuk Seri Mohamad Hasan yang sejak awal bersama parti itu.

"Sebilangan pemimpin parti baharu yang ada tidak menjiwai objektif penubuhan parti tersebut," jelasnya.

Terdahulu, Ketua Armada Bersatu Temerloh, Muhammad Faharuddin Hashim mengatakan hilang kepercayaan kepada kepemimpinan atasan parti itu merupakan faktor mereka keluar parti.

Muhammad Faharuddin yang juga merangkap Ketua Penerangan Armada Pahang itu berkata, kepimpinan atasan lebih mementingkan kuasa dan tidak cakna dengan kebajikan ahli Armada di peringkat bawahan.

Sementara itu bagi Ketua Armada, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berkata, perpindahan itu tidak memberikan kesan kepada parti berkenaan.

"Kami dapat 300 ahli baru kelmarin di Temerloh. Jadi perkara itu tidak memberi kesan," jelasnya nya kepada Majoriti.

Saat ditanya menggenai strategi Bersatu mengenai undian dari golongan muda, beliau berkata, parti tersebut kini dalam perancangan untuk melaksanakan program yang mampu menarik minat kelompok berkenaan mengikuti mereka. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram