Suka makanan Malaysia, import TRW mahu penyokong Kijang Merah bangga


  • Podium
  • Jumaat, 08 Jul 2022

Kenta kini giat berlatih bersama skuad TRW. — Facebook

SELEPAS Kenta Hara merungkai penjelasan berhubung perpindahannya ke Kelantan FC, bintang baharu The Red Warriors (TRW) itu mendedahkan dia mendapat banyak tunjuk ajar daripada jurulatih serta rakan sepasukan dalam proses membiasakan diri di Malaysia.

Pemain sayap dari Jepun berkata, selain perkara berkaitan bola sepak, jurulatih kelab turut memberi tunjuk ajar tentang perkara berkaitan budaya Malaysia.

"Jurulatih banyak mengajar saya mengenai bola dan budaya. Soal makanan pula, diakui makanan di Malaysia sedikit pedas, tapi saya menyukainya," katanya kepada Majoriti.

Kenta turut mendedahkan dia banyak dibantu rakan sepasukan iaitu import dari Haiti, Kervens Fils Belfort dan Nixon Guylherme Brizolara dari Brazil.

Menurutnya, atas bantuan jurulatih dan rakan sepasukannya itu, dia dapat menyesuaikan diri dengan baik.

"Saya berpuas hati dengan suasana latihan di sini. Jurulatih, kakitangan dan rakan sepasukan memberikan kerjasama yang padu.

"Pasukan dapat menyesuaikan diri dan saya akan lakukan yang terbaik untuk skuad ini dan penyokong sekalian," kata pemain berusia 26 tahun itu.

Kenta melengkapkan perpindahan ke Kelantan FC pada jendela perpindahan kedua Liga Malaysia (Liga M) musim ini dari kelab Bosnia and Herzegovina, FK Alfa Modrica. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram