PASUKAN sedang meningkat naik, Sabah FC menjadi bualan penyokong pada jendela perpindahan musim pertama ekoran tindakan skuad itu yang mengeluarkan modal besar untuk membeli beberapa bintang ternama negara dan pemain import.
Antara wajah baharu yang menyertai skuad Sang Badak pada awal musim 2022 ialah bintang-bintang tempatan ternama seperti Baddrol Bakhtiar, Khairul Fahmi Che Mat, Dominic Tan, Rizal Ghazali dan Irfan Fazail.
Manakala pemain import yang menyertai Sabah FC pada awal musim 2022 ialah Jackson de Souza, Altemir Cordeiro Pessoa Neto (Brazil) dan Taiki Kagayama dari Jepun.
Namun, rancangan Sabah FC pada jendela perpindahan kedua kali ini menjadi tanda tanya kepada penyokongnya samada pasukan itu akan melakukan rombakan pemain ataupun sebaliknya.
Menjawab persoalan dari penyokong itu, Pengurus Sabah FC, Marzuki Nasir berkata, pengurusan skuad The Rhinos kini dalam proses rundingan untuk mencari pemain baharu.
"Mengambil pemain baharu dalam jendela perpindahan kedua kali ini masih dalam perundingan," katanya kepada Majoriti.
Namun ketika ditanya sama ada untuk mengambil pemain import atau tempatan, pihak pengurusan skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee itu merahsiakannya.
Sesi latihan pasukan Sabah FC. — Facebook Sabah FC
Berbicara mengenai sasaran ataupun misi yang ingin dicapai skuad Sang Badak pada musim ini, jelas Marzuki, Sabah FC menyasarkan untuk menjadi pasukan lima terbaik dalam saingan Liga Super 2022.
Tidak dapat dinafikan Sabah FC masih dalam proses menjadi pasukan yang hebat namun skuad itu juga menanam impian untuk menjulang Piala Malaysia 2022.
"Seperti yang kami katakan pada awal musim, tahun ini agak ramai pemain baru yang menandatangani bersama Sabah FC dan proses untuk membina pasukan memerlukan sedikit masa.
"Jadi pasukan lima terbaik adalah sasaran realistik untuk musim ini. Inshaa-ALLAH Piala Malaysia juga sasaran kita," jelas Marzuki.
Sabah FC masih kekal konsisten pada musim ini apabila mereka berjaya berada di tangga teratas Liga Super selepas mengharungi lapan perlawanan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram