Azraai tak salahkan Maloney tapi minta FAM, MFL duduk semeja


  • Podium
  • Isnin, 20 Jun 2022

Skuad B-23 kebangsaan bakal melalui perubahan dalam usaha memperkukuhkan pasukan negara. — Facebook/FAM

SELEPAS kejayaan skuad kebangsaan melayakkan diri ke Piala Asia 2023, rata-rata penyokong kini mula memasang impian baharu untuk kebangkitan Malaysia dalam sukan bola sepak antarabangsa.

Walaupun begitu, sesuatu yang agak merisaukan kini terarah kepada skuad pembangunan negara yang dilihat sedikit kritikal sejak akhir-akhir ini.

Skuad bawah 23 (B-23) negara sedang mengalami kemerosotan dari segenap arah apabila pasukan kendalian Brad Maloney itu gagal menterjemahkan sebarang kejayaan dalam beberapa kejohanan disertai termasuk Sukan SEA Vietnam dan Sukan Asia B-23 di Uzbekistan baru-baru ini.

Justeru, Skuad B-23 kebangsaan bakal melalui perubahan dalam usaha memperkukuhkan pasukan negara kendalian ketua jurulatih, Kim Pan-gon.

Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin dilaporkan berkata, perubahan itu untuk memastikan pasukan muda negara bergerak selari dengan hala tuju skuad senior dan perkara tersebut akan dibincangkan dalam mesyuarat yang dijadual bulan depan.

SEREMBAN 08 MAC 2018. Jurulatih baru Negeri Sembilan, Mohd Azraai Khor Abdullah ketika sesi latihan skuad Negeri Sembilan di padang Universiti Teknologi Mara (UiTM), Seremban 3. STR/ADZLAN SIDEK

Azraai Khor membawa pasukan Kedah muncul juara 'treble' dua musim dalam kancah saingan liga bola sepak Malaysia pada 2007 dan 2008. Facebook

Mengulas tentang kenyataan Presiden FAM, bekas ketua jurulatih Kedah, Azraai Khor Abdullah berkata, pengurusan FAM perlu membuat kajian yang menyeluruh sebelum membuat apa-apa keputusan.

"FAM perlu membuat kajian yang menyeluruh sebelum melakukan apa-apa keputusan dan jangan terikut-ikut dengan prestasi skuad senior sehingga menyebabkan skuad Harimau Muda gagal.

"Bagi saya Brad Maloney masih lagi merupakan seorang jurulatih yang bagus cuma kita perlu beri dia ruang dan masa, tetapi jika FAM mempunyai calon yang lebih baik mungkin itu akan beri nilai tambah buat skuad muda," katanya kepada Majoriti.

Tambahnya lagi, pemain-pemain muda yang mewakili pasukan B-23 negara bukan tidak bagus, tetapi mereka tidak mendapat minit permainan bersama pasukan masing-masing di dalam liga domestik Malaysia.

"Pemain kita bukan tiada kualiti, tetapi cuba kira berapa pemain muda yang menjadi kesebelasan utama mendapat minit permainan bersama kelab mereka.

"FAM tidak boleh meletakkan semua kesalahan kepada Maloney serta anak buahnya kerana sebelum ini Setiausaha FAM ada mengeluarkan kenyataan bahawa Piala Asia B-23 hanya untuk mengutip pengalaman.

"Jika benar FAM ingin membuat perubahan pada skuad muda negara, mungkin FAM dan MFL boleh duduk semeja berbincang untuk mewujudkan kuota pemain muda dalam liga Malaysia," ujarnya.

Jaami Qureshi

Jaami terbuka untuk wakili Harimau Malaya. Facebook

Menurutnya lagi, jika benar FAM ingin membawa masuk pemain muda berdarah warisan ke dalam skuad Harimau Muda, ini akan memberi nilai tambah buat pasukan tetapi bukanlah penyelesaian jangka masa panjang.

"Kehadiran pemain warisan seperti Jaami Qureshi dalam skuad muda negara bagus untuk menambah kekuatan bagi skuad muda.

"Tetapi bola sepak ialah permainan berpasukan bukannya individu, jadi FAM harus melakukan sesuatu untuk menghasilkan pemain muda yang berkualiti," jelasnya.

Sebelum ini, timbul khabar angin mengaitkan penolong kepada Pan-gon, Pau Marti Vicente yang merupakan bekas penolong jurulatih kelab gergasi Eropah, FC Barcelona untuk menggantikan Brad Maloney. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram