Ahli Parlimen Belia ditegur, jangan tiru MP 'senior'


  • Primer
  • Khamis, 16 Jun 2022

Persidangan Parlimen Belia 2022 dihadiri sebanyak 153 Ahli Parlimen Belia.

AHLI Parlimen Belia diminta untuk sentiasa menjaga disiplin diri dan tidak melakukan perkara yang tidak sepatutnya apatah lagi perilaku itu mencerminkan status mereka.

Perkara itu ditegaskan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu selepas sesi penggulungan Persidangan Parlimen Belia 2022 yang melibatkan 153 Ahli Parlimen Belia di Hotel Tenera, Bangi, Selangor pada Khamis.

Ahmad Faizal juga menegur sesetengah Ahli Parlimen Belia yang dilihat tidak berdisiplin dan agak nakal ketika sesi persidangan berjalan.

"Saya memantau mereka dan saya lihat ada sebahagiannya yang tidak berdisiplin seperti tidak patuh pada masa persidangan, keluar dewan dan merokok.

"Selain itu ada juga yang bersikap nakal ketika bersidang. Sebenarnya jangan ikut seperti Ahli Parlimen yang ada. Jangan tiru perkara yang tidak elok. Kalau boleh, bersidanglah dengan matang," katanya.

Menurut Ahmad Faizal, teguran itu ibarat pesanan seorang ayah kepada anak-anak dan dia gembira kerana kesemua Ahli Parlimen Belia dapat menerimanya dengan hati terbuka.

Dalam pada itu, Ahmad Faizal berkata, empat usul yang dibahaskan iaitu pemindaan had umur minimum perkahwinan bagi orang Islam dan bukan Islam serta inisiatif khas bagi menggalakkan penyertaan golongan belia dalam sektor penternakan dan pertanian.

Turut dibahaskan ialah pemindaan akta perlindungan kanak-kanak, orang tua dan golongan orang kelainan upaya (OKU), mengangkat Bahasa Melayu sebagai bahasa kedua ASEAN.

Menurutnya, kesemua usul itu sudah dibawa kepada kementerian berkaitan dan sebarang cadangan yang boleh diguna pakai akan diteruskan.

Dalam pada itu, sebagai penghargaan kepada Ahli Parlimen Belia, Ahmad Faizal berkata, pihaknya bersetuju untuk memberikan elaun menghadiri persidangan sebanyak RM200.

Tambahnya, pihaknya juga bersetuju untuk melanjutkan tempoh lantikan Ahli Parlimen Belia bagi lantikan sesi 2019-2021 ke tahun 2023. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram