LGBT bertentangan fitrah manusia, Ustazah Asma ingatkan ibu bapa halang anak tonton Buzz Lightyear


  • Mukmin
  • Jumaat, 17 Jun 2022

MACSA membuat petisyen pengharaman filem itu.

FILEM animasi Buzz Lightyear yang bakal menemui peminatnya pada bulan ini mendapat kritikan hebat daripada orang ramai kerana mengandungi unsur lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT).

Animasi keluaran syarikat terkenal, Disney itu mendapat tentangan hebat dari orang ramai khususnya di Malaysia sehinggakan Pertubuhan Masyarakat Sivil Malaysia bagi Proses Semakan Berkala Sejagat (MACSA) membuat petisyen pengharaman filem itu.

Pendakwah terkenal, Ustazah Asma Harun turut tampil menolak filem itu dari ditayangkan di Malaysia kerana risau akan kesan dan akibat daripada animasi itu kepada golongan kanak-kanak.

“Sungguh, ini bukanlah perkara remeh yang harus dibisukan kerana ia secara terang bukan sahaja bertentangan agama malah fitrah manusia itu sendiri.

“Maksudnya: “Patutkah kamu melakukan hubungan sejenis dengan lelaki dalam kalangan manusia? (165) Dan kamu tinggalkan apa yang telah diciptakan oleh Tuhan untuk kamu (melakukan hubungan yang halal) daripada isteri-isteri kamu? Bahkan kamu adalah kaum yang melampaui batas!” (166) (Surah al-Syu’ara 26: 165-166),” katanya menerusi laman Facebook.

Tambahnya, pengaruh LGBT semakin banyak dimasukkan dalam fıkiran masyarakat termasuk kanak-kanak menerusi pelbagai kaedah seperti melalui media sosial, lagu, filem, penulisan, perniagaan, politik dan sebagainya.

Asma turut memberi ingatan mesra kepada golongan ibu bapa untuk memainkan peranan bagi menghalang daripada anak mereka menonton filem animasi itu.

“Bermula dengan menonton filem yang ada adegan seperti Lightyear, dianggap kecil tetapi mula timbul rasa ingin tahu lebih mendalam, kemudian ke peringkat nak cuba-cuba dan akhirnya terjebak.

“Iya, mungkin ramai yang mengeluh kerana watak dalam filem ini terasa sangat dekat sebab selalu menonton "Toy Story" sejak kecil. Namun jangan pula kerana rasa keterikatan dengan satu karakter fiksyen kita sanggup ketepikan prinsip,” katanya.

Daripada Abu Sa’id al-Khudri r.a., Rasulullah SAW bersabda: Maksudnya: "Siapa yang melihat kemungkaran maka ubahlah dengan tangannya, jika tidak mampu maka ubahlah dengan lisannya, jika tidak mampu maka (tolaklah) dengan hatinya dan hal tersebut adalah selemah-lemah iman." — (HR Muslim, hadis sahih)Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram