Warga emas pukul jiran guna kayu mengaku tidak bersalah di Kota Bharu


Koh didakwa dengan sengaja mencederakan jirannya dengan menggunakan sebatang kayu.

SEORANG warga emas mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret, Kota Bharu, Kelantan pada Khamis atas pertuduhan mencederakan jirannya menggunakan sebatang kayu, minggu lepas.

Koh Gee Doon, 64, didakwa dengan sengaja mencederakan jirannya, Hor Keng Wah berusia 69 tahun dengan menggunakan sebatang kayu sehingga mangsa mengalami kecederaan di atas kepala di hadapan sebuah rumah dekat Jalan Kelochor, Padang Kelochor, Kelantan, pada pukul 12.20 tengah hari, 9 Jun lepas.

Dia didakwa mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripada seksaan itu.

Koh membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Muhammad Fitri Mokhtar.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Sharifah Amirda Shasha Amir Sharifuddin, manakala tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Ariyani Mohd Amin.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM4,500 dengan seorang penjamin dan menetapkan 15 Ogos untuk sebutan semula kes. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram