Padang SBNJ akan guna rumput kurniaan TMJ, macam stadium JDT — Faizal Azumu


  • Podium
  • Khamis, 16 Jun 2022

Keadaan SNBJ yang banjir ekoran hujan lebat hingga mendapat kritikan daripada pelbagai pihak. — Agensi

SELEPAS kejadian memalukan yang berlaku di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ), Kuala Lumpur, padang di stadium tersebut akan ditukar menggunakan rumput sama seperti di Stadium Sultan Ibrahim, Johor.

Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, pihaknya akan menggunakan jenis rumput dikurniakan Tengku Mahkota Johor, iaitu Zeon Zoysia berbanding Cow Grass sekarang.

"Memang kita telah tutup stadium untuk kita buat penilaian berkenaan dengan status padang dan fasiliti yang lain seperti tandas untuk dinilai tahap kerosakan.

"Saya juga sudah arahkan Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) untuk memanggil perunding bagi melakukan forensic structure terhadap bangunan dan sebagainya apatah lagi SNBJ boleh dikatakan sudah berusia," katanya mengenai stadium yang beroperasi sejak 1998 itu.

640px-Bukit_Jalil_National_Stadium-26

Perkembangan semasa kerja pemulihan SNBJ akan dimaklumkan secara bulanan kepada umum. — Agensi

Menurut Ahmad Faizal, pihaknya juga akan melakukan proses perolehan kerajaan kerana kerja-kerja menaik taraf bangunan tidak boleh dilakukan sewenang-wenangnya.

Jelasnya, perkara itu akan diputuskan menerusi mesyuarat melibatkan lembaga pengarah sebelum dibawa ke Kementerian Kewangan.

Selain itu, katanya, penutupan SNBJ juga tidak dilakukan secara menyeluruh sebaliknya fasiliti lain masih boleh digunakan.

"Kita tutup secara berperingkat. Kalau kerja naik taraf sedang dilakukan di bahagian padang, kita masih benarkan penggunaan trek dan apa sahaja aktiviti lain," katanya.

Dalam pada itu, Ahmad Faizal juga sedang berbincang dengan PSM untuk menyediakan laporan penuh mengenai proses baik pulih SNBJ sekali sebulan.

Tambahnya, perkara itu adalah untuk memastikan orang ramai tahu perkembangan semasa proses pembaikan SNBJ sekaligus memastikan ketelusan dalam projek tersebut. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram