MPOGCF komited lindungi industri sawit, isu alam sekitar dan hidupan liar


  • Primer
  • Jumaat, 10 Jun 2022

MPOGCF komited mahu melindungi industri sawit dan isu alam sekitar dalam negara. — Agensi

YAYASAN Pemuliharaan Hijau Minyak Sawit Malaysia (MPOGCF) akan memastikan fitnah terhadap minyak sawit ditangkis menerusi bukti daripada kajian yang dilakukan sebelum ini.

Pengurus Besar MPOGCF, Zamakhshari Muhamad berkata, sebelum ini terdapat dakwaan yang mengatakan minyak sawit mempunyai lemak tepu dan mampu menyebabkan sakit jantung.

"Kita telah menangkis dakwaan itu menerusi kajian yang dilakukan oleh Palm Oil Research Institute (PORIM-MPOB) yang dilakukan di beberapa negara luar termasuk di Amerika Syarikat.

"Selepas serangan menggunakan isu kesihatan tidak berkesan, kumpulan-kumpulan hijau yang dipercayai ditaja pihak-pihak tertentu menggunakan isu alam sekitar.

"Penubuhan MPOGCF ini bagi memastikan usaha-usaha pemuliharaan biodiversiti dan hidupan liar dapat diberi keutamaan dan lebih berfokus bagi memastikan industri sawit Malaysia kekal mampan," katanya.

Jelas Zamakhshari, usaha untuk membuktikan negara ini tidak menjejaskan alam sekitar demi industri sawit perlu diperkukuhkan bagi menangkis dakwaan-dakwaan yang berniat jahat.

“Walaupun kita tahu, serangan terhadap minyak sawit ini sebenarnya adalah untuk melindungi kepentingan minyak sayuran yang lain tetapi berselindung di sebalik isu kesihatan, alam sekitar dan kemampanan,” tambahnya.

Terdahulu Zamakhshari berkata, MPOGCF menjadi sebuah entiti baharu memulakan operasinya secara rasmi pada 1 April 2021.

Ujarnya, projek dan inisiatif pemuliharaan biodiversiti dan hidupan liar yang telah dimulakan oleh Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC) melalui Malaysian Palm Oil Wildlife Conservation Fund (MPOWCF) telah diambil alih dan kini diteruskan oleh MPOGCF.

Antaranya adalah Program Konservasi Harimau Malaya dan Borneo Elephant Sanctuary di Kinabatangan, Sabah serta penajaan Wildlife Rescue Unit Sabah. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram