"TOLONG duduk di tempat masing-masing," itu peringatan buat semua peminat bola sepak tempatan yang bakal menyaksikan perlawanan bola sepak di stadium terutama semasa kempen Kelayakan Piala Asia 2023 antara Malaysia dan Bahrain pada Sabtu.
Bakal berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) Kuala Lumpur, peringatan umum itu disuarakan menerusi satu hantaran di akaun Facebook JDTFC.
Menurutnya peminat bola sepak tempatan harus mengubah mentaliti dan sikap ketika berada di stadium serta duduk mengikut nombor kerusi yang ditetapkan pada tiket.
"Untuk makluman, kepada sesiapa yang ke SNBJ tolong jaga perangai dan duduk di tempat masing-masing.
"Ikut nombor kerusi yang tertera di tiket masing-masing, jangan ikut sedap tekak sahaja ambil tempat duduk orang lain," katanya.
Tambahnya lagi, selain duduk di kerusi orang lain, peminat bola sepak juga dinasihatkan supaya tidak 'chop' (tempah) tempat duduk untuk kawan-kawan lain.
Jelasnya lagi, setiap orang perlu memantau perkara ini dan saling menasihatkan sekiranya ia berlaku semasa perlawanan pada Sabtu.
"Jangan amalkan sikap suka 'chop' kerusi guna mafla, ikut nombor kerusi sendiri, tolong jangan amalkan perangai sedemikian.
"Bagi mereka yang ada di stadium, tolong pantau kawan-kawan di sekeliling, jika ada yang ambil tempat duduk orang lain kita halau sahaja mereka, pandai-pandai cari kerusi sendiri nanti," ujarnya.
Teguran tersebut turut mendapat respons daripada pengikut lain yang menyokong supaya penonton yang hadir ke stadium perlu duduk mengikut kerusi yang ditetapkan.
Seorang pemilik akaun Ryosuke Takahashi berkongsi pengalaman tempat duduknya pernah diambil orang lain semasa pergi membeli minuman selepas separuh masa pertama perlawanan.
Katanya yang membeli dua tempat duduk, kerusinya diambil oleh sekumpulan penyokong lain.
"Masa habis separuh masa pertama, saya turun pergi beli air, selepas kembali ke kerusi ada sekumpulan penyokong duduk di situ.
"Habis semua saya halau walaupun tempat duduk hanya dua sahaja, sudah pasti tempat duduk mereka di tempat lain," ujarnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram